PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menggerakkan empat pasukan khas bagi menghadapi bencana banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini.
Empat pasukan itu membabitkan Pasukan Perubatan, Pasukan Kesihatan, Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) dan Pasukan Rapid Assessment Team (RAT) dan Rapid Response Team (RRT).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata KKM sentiasa bersiap sedia untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir dan bagi mencegah penularan penyakit berjangkit.
“Pasukan Perubatan yang berperanan melawat dan memberi rawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala Pasukan Kesihatan bagi melakukan pemantauan, pencegahan, dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.
“MHPSS pula bagi memberi dan menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas dan RAT serta RRT bertanggungjawab membuat penilaian dan memberi respon bagi mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Muhammad Radzi berkata, KKM sentiasa memastikan anggota dan pasukannya sentiasa bersedia bagi menghadapi bencana banjir.
Katanya, keperluan air bersih, logistik, ubatan, peralatan dan komunikasi juga akan diberi perhatian bagi kelangsungan perkhidmatan kesihatan ketika bencana.
“KKM turut mengemas kini senarai fasiliti kesihatan berisiko banjir dan fasiliti alternatif untuk beroperasi bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan kesihatan semasa banjir.
“Selain itu, KKM akan memastikan golongan berisiko tinggi seperti kes antenatal dan penyakit kronik yang memerlukan rawatan kritikal dikenal pasti dan dipindahkan awal bagi mengelakkan terputus rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa bersedia dan berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa, khususnya keperluan untuk berpindah awal.
“Ini dapat mengelakkan sebarang kesulitan serta mengelak daripada berlakunya kemalangan dan kehilangan jiwa,” katanya.
-BeritaHarian