PARIS: Imane Khelif dilapor menamakan Elon Musk dan JK Rowling dalam saman undang-undang buli siber – dengan peguamnya mendakwa ciapan Donald Trump juga akan disiasat.
Juara tinju Olimpik, Khelif difahamkan sudah memfailkan aduan jenayah kepada pihak berkuasa Perancis.
Butiran aduan itu mendakwa wujud “tindakan gangguan siber yang teruk” terhadap peninju dari Algeria itu.
Peguam Khelif, Nabil Boudi memberitahu Variety: “JK Rowling dan Elon Musk dinamakan dalam tuntutan mahkamah.
“Ciapan Trump, sama ada beliau dinamakan dalam tuntutan mahkamah kami atau tidak, beliau pasti akan dilihat sebagai sebahagian daripada pendakwaan.
“Apa yang kami minta pihak pendakwaan menyiasat bukan sahaja mereka ini tetapi sesiapa yang difikirkan perlu.”
Peguam dari Paris itu menambah: “Jika kes ini dibawa ke mahkamah, mereka akan dibicarakan.”
Khelif memenangi pingat emas tinju Olimpik dalam kategori 66kg wanita Sabtu lalu selepas pengkritik menyatakan penyertaannya membahayakan keselamatan wanita.
Warga Algeria itu dilahirkan sebagai wanita dan tidak dikenali sebagai transgender.
Namun Khelif berdepan kritikan di media sosial daripada beberapa orang ternama menyatakan dia lelaki dan tidak patut bertanding.
Penulis Harry Potter, Rowling menyelar Khelif selepas kemenangannya ke atas peninju Itali, Angela Carini.
Carini bertarung selama 46 saat sahaja pada pertembungan pusingan 16 itu – enggan berjabat tangan dengan Khelif dan mendakwa dia tidak pernah ditumbuk sebegitu kuat.
Rowling menuduh Khelif sebagai seorang lelaki yang “menikmati penderitaan seorang wanita yang baru ditumbuknya.”
Pemilik Twitter dan Tesla, Musk berkongsi hantaran mengenai Khelif yang mendakwa “lelaki tidak berhak beraksi dalam sukan wanita.”
Trump pula menyiarkan gambar pertarungan Khelif-Carini dengan kapsyen: “Saya akan menghalang lelaki daripada menyertai sukan wanita!”
-AGENSI
-BeritaHarian