KUALA LUMPUR- Gas Malaysia Bhd (Gas Malaysia) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM46.48 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2019 daripada RM41.42 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Perolehan turut menokok sebanyak 12.8 peratus kepada RM1.76 bilion daripada RM1.56 bilion sebelum ini, didorong oleh pertambahan jumlah jualan gas asli dan kenaikan cukai, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama, keuntungan bersih kumpulan Gas Malaysia meningkat sebanyak 7.22 peratus kepada RM138.8 juta daripada RM129.46 juta bagi tempoh sama 2018 manakala perolehan menokok 15.9 peratus kepada RM5.21 bilion daripada RM4.49 bilion, sebelum ini.
Bagi kemajuan masa depan, kumpulan itu berkata peningkatan jumlah jualan gas asli dan bilangan pelanggan dijangka dapat membantu mengekalkan prestasi tahun kewangan 2019.
“Keuntungan kumpulan ini bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019 juga dijangka seiring dengan paras yang memaparkan mekanisme kerangka penetapan cukai,” katanya.- BERNAMA