Ketua jabatan diminta ingatkan kakitangan daftar untuk vaksinasi COVID – Saifuddin

Estimate Reading Time: 2 minutes

LIPIS, 9 Mac — Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah meminta semua ketua jabatan supaya mengingatkan kakitangan mereka mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berharap lebih ramai individu tampil mendaftar sekali gus dapat menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah bermula pada 24 Feb lepas.

“Program ini sedang berlangsung secara berfasa dan saya berharap kita dapat mengingatkan antara satu sama lain untuk mendaftar bagi menerima vaksin,” katanya ketika menyampaikan taklimat darurat dan penghakupayaan komuniti COVID-19 sempena Program Malaysia Prihatin di Kuala Lipis, di sini hari ini.

-Advertisement-

-Advertisement-

Sehingga semalam seramai 3,832,976 orang telah mendaftar untuk program imunisasi itu, dengan 3,658,538 daripadanya mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, 173,575 menerusi laman sesawang vaksincovid.gov.my dan 863 melalui talian penting.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata seramai 166,363 individu dalam kumpulan fasa pertama telah divaksinkan setakat semalam.

Sementara itu, Saifuddin berkata selaras dengan amanat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tumpuan kerajaan kini adalah untuk memastikan rakyat dapat meneruskan kelangsungan hidup ketika mengharungi pandemik COVID-19.

Menurut beliau, beberapa aktiviti yang tidak dibenarkan sebelum ini telah memulakan operasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang perlu dipatuhi.

“Misalnya, aktiviti penggambaran yang telah dibenarkan kerana kita sedar ramai pelakon dan kru di belakang tabir yang terjejas dan berhadapan dengan masalah pendapatan, justeru kita benarkan dengan SOP yang perlu diikuti.

“Namun, saya juga berharap semua pihak tidak alpa dan sentiasa patuh dengan ketetapan SOP yang telah digariskan,” katanya sambil menambah kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif termasuk yang terbaharu, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

 

Muhyiddin sebelum ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menggiatkan usaha untuk mengimbangi antara aspek kelangsungan hidup dan ekonomi negara yang sehingga kini masih belum bebas daripada ancaman pandemik COVID-19.

Beliau dilaporkan berkata kerajaan prihatin dan sentiasa mendengar pandangan dan keluhan mereka yang terkesan akibat pandemik yang melanda sejak lebih setahun yang lepas.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427