KeTSA komited usaha konservasi habitat gajah

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memandang serius keperluan memastikan kelangsungan hidup gajah selain komited mempergiatkan usaha konservasi dan habitatnya.

-Advertisement-

Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata antara tindakan diambil termasuk meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), penguatkuasaan bersepadu banteras pencerobohan, pembalakan haram dan kegiatan memburu hidupan liar.

“Berdasarkan rekod PERHILITAN, sebanyak 3,325 aduan konflik manusia dan gajah dilaporkan bagi tempoh 2015 hingga 2021.

Manakala bagi Januari hingga Jun 2022, sebanyak 435 aduan serupa dilaporkan.

“Oleh itu, pelbagai usaha dilaksanakan PERHILITAN bagi menangani konflik manusia dan gajah termasuk menubuhkan pusat konservasi gajah di Pahang, Terengganu dan Johor.

“Menjalankan program pemantauan pergerakan kumpulan gajah secara pemasangan kolar satelit, membangunkan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG), memasang papan tanda amaran bagi mengurangkan risiko berlaku ‘roadkill’ dan menjalankan program kesedaran awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di peringkat antarabangsa, Malaysia serius dalam melaksanakan tindakan di bawah National Ivory Action Plan (NIAP) sebagai komitmen untuk membanteras rangkaian perdagangan haram gading gajah.

“Berdasarkan laporan Elephant Trade Information System (ETIS) 2022, Malaysia berada dalam kategori B iaitu kedudukan lebih baik berbanding laporansama pada 2019 yang meletakkan negara dalam kategori A (primary concern),” katanya.

-Advertisement-

Tambah beliau, Hari Gajah Sedunia disambut pada 12 Ogos setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang kepentingan pemuliharaan dan perlindungan spesies gajah serta ancaman yang dihadapi.

“Di Malaysia, Gajah Asia atau nama saintifiknya Elephas maximus mempunyai dua sub-spesies iaitu Elephas maximus indicus yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan Elephas maximus borneensis, (Gajah Pygmy) yang terdapat di Sabah.

“Populasi gajah di Semenanjung dianggarkan sebanyak 1,220 hingga 1,680 ekor dengan taburan populasi di tujuh negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Spesies ini memerlukan kawasan keliaran yang luas antara 10 kilometer persegi sehingga 250 kilometer persegi bergantung kepada sumber makanan serta komposisi kumpulan gajah terbabit.

“Keperluan makanan seekor gajah pula antara 150 kilogram hingga 200 kilogram sehari yang memerlukan gajah terus bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mencari makanan,” katanya.

Takiyuddin berkata, oleh itu, adalah penting untuk melindungi dan memulihara habitat dan kawasan keliaran gajah.

“Saya menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam melindungi dan memulihara gajah demi kesejahteraan hidup generasi kini dan akan datang,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427