Ketika sekolah ditutup, pengusaha bas harap moratorium pinjaman untuk tanggung keluarga

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Dengan sekolah ditutup akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 dan peningkatan kes Covid-19, Asogan Subramaniam, 57, sekali lagi kehilangan sumber pendapatan.

-Advertisement-

Asogan, pengusaha perkhidmatan pengangkutan sekolah, berkata beliau hanya dapat meraih pendapatan sepanjang separuh daripada tahun 2020. Setakat ini, perniagaannya hanya dapat beroperasi sebulan dalam tahun ini.

“Sekarang semua sekolah ditutup, saya tidak bekerja lagi,” kata bapa kepada tiga anak itu kepada FMT, dengan senyuman kecil, cuba bersikap positif walaupun sedang menganggur buat sementara waktu.

Asogan, yang tergolong dalam kumpulan M40, bersyukur kerana beliau mempunyai sejumlah wang yang disimpan untuk kegunaan tempoh sukar seperti ini.

Perniagaan kecil isterinya yang menjual muruku turut membantu, katanya.

Tetapi dengan pendapatan yang sedikit, dan wang tunai dalam tangan semakin berkurangan, beliau tidak dapat bertahan lebih lama.

Beliau menerima moratorium pinjaman enam bulan sewaktu PKP pertama tahun lalu, langkah penting yang mengurangkan kejutan ekonomi akibat sekatan dan penutupan sekolah.

Beliau merancang untuk menerima moratorium tiga bulan yang ditawarkan kerajaan, kini dibuka untuk mereka dalam kumpulan M40 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami kekurangan pendapatan sebanyak 50% atau lebih.

Ini dapat memastikan keluarganya mempunyai lebih wang tunai dalam tangan untuk membeli keperluan, terutamanya jika PKP 3.0 dilanjutkan, katanya.

-Advertisement-

Menerusi pakej PEMERKASA Tambahan, individu dalam kumpulan B40 dan M40 yang kehilangan pekerjaan, termasuk pengusaha kecil dan sederhana dalam sektor-sektor yang tidak dibenarkan beroperasi, layak menerima moratorium pinjaman selama tiga bulan. Permohonan mereka akan diluluskan secara automatik.

Mereka boleh memilih untuk menerima moratorium atau membayar 50% ansuran bulanan sepanjang enam bulan. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan kira-kira lima juta peminjam semasa PKP 3.0 dan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara.

Antara langkah lain diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 yang disasarkan bagi golongan M40 termasuk penurunan 1% kadar cukai pendapatan bagi mereka dengan pendapatan tahunan boleh cukai antara RM50,001 dan RM70,000.

Turut diperuntukkan adalah peningkatan pelepasan cukai bagi mereka yang menanggung kos perubatan ibu bapa dan pelanjutan pelepasan cukai bagi caruman Skim Persaraan Swasta dan mereka yang menyertai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Ahli ekonomi Juita Mohamad daripada Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa berkata, langkah-langkah bantuan bawah PEMERKASA Tambahan bertujuan untuk memastikan wang tunai berada dalam tangan kumpulan dan isi rumah yang rentan, termasuk individu M40 yang terjejas akibat wabak.

Tambahnya, ini diperlukan kerana wabak boleh menjerumuskan mereka yang berpendapatan rendah ke dalam kancah kemiskinan, memandangkan pengangguran semakin meningkat, dan pekerjaan sukar didapati.

Moratorium pinjaman tiga bulan tersebut, kata Juita, memberi kelegaan sementara kepada mereka yang mempunyai komitmen kewangan, walaupun faedah lebih tinggi perlu dibayar setelah tempoh tiga bulan berkenaan tamat.

“Bagi jangka masa terdekat, ini memberi kelonggaran bagi isi rumah untuk menyalurkan sumber daya mereka untuk tujuan tertentu,” katanya, sambil menambah, ini sangat membantu pemilik rumah atau kenderaan baharu.

“Kelegaan cukai akan menambah aset boleh guna bagi isi rumah. Memandangkan sekatan kali ini agak lama, ini membantu,” katanya.-FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427