PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan pertamanya tahun ini mengingatkan menteri dan penjawat awam untuk mengetepikan perbezaan dan perasaan peribadi supaya Malaysia dapat diiktiraf sebagai negara maju menjelang 2030.
“Saya harap kita semua sambut tahun baru ini dengan resolusi yang bukan hanya memberi manfaat kepada diri sendiri, tetapi kepada negara juga.
“Resolusi untuk negara jayakan negara kita supaya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah (dengan negara maju),” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bersama penjawat awam di sini, hari ini.
Perdana menteri berkata, jentera kerajaan dan menteri memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
“Kita sudah perkenalkan dasar baru, iaitu dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kita bukan sahaja menyatakan wawasan ini, tetapi kita harus melaksanakan.
“Untuk ini banyak kerja perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak, iaitu kerajaan yang memimpin rakyat dan jentera kerajaan. Kerjasama amat penting kalau ingin lihat kejayaan.” -FMT