Kesatuan Guru Sarawak sokong sekolah beroperasi 50 peratus

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) bersetuju dengan langkah yang diambil Kementerian Pendidikan (KPM) dengan membenarkan sekolah beroperasi pada kadar 50 peratus enrolmen sekolah dan juga pada kadar 50 peratus bilangan pelajar dalam bilik darjah.

-Advertisement-

Presiden STU, Adam Prakash Abdullah, berkata ini akan memudahkan urusan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

“STU menghargai usaha KPM dalam memastikan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dibenarkan kembali ke sekolah terlebih dahulu dengan diikuti kelas lain secara bergilir.

“Kita percaya, guru akan memanfaatkan masa ini untuk menyediakan pelajar menghadapi pelajaran dan peperiksaan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pelajar juga boleh menggunakan waktu persekolahan ini untuk menyelesaikan banyak masalah pembelajaran yang telah mereka lalui ketika pengajaran dan pembelajaran di rumah ((PdPR).

-Advertisement-

“STU juga berharap, semua pihak yang terbabit dengan pembukaan sekolah nanti telah mendapatkan dos vaksin yang lengkap bagi menjamin keselamatan semua.

“STU menyambut baik pengumuman dibuat Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkenaan pembukaan sesi persekolahan Oktober ini, ia satu perancangan yang baik untuk memungkinkan pelajar dan guru kembali ke sekolah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu semua ibu bapa memberi sokongan dan motivasi kepada anak supaya mereka tidak keberatan untuk meneruskan persekolahan secara bersemuka.

“Pihak guru juga diharap akan membantu pelajar dalam usaha mereka kembali ke sekolah dan bersabar dalam memastikan pelajar kita menyesuaikan diri dengan disiplin sekolah semula.

“Cabaran besar menunggu kita menjelang pembukaan sekolah Oktober nanti dan kita akan mengatasinya bersama,” katanya. -BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427