NEW DELHI – India mencatat 1,341 jumlah kematian sehari akibat Covid-19 dengan 234,000 jangkitan dan angka itu semakin meningkat, lapor The Guardian semalam.
Dalam satu ucapan kepada rakyatnya, Perdana Menteri Narendra Modi berkata negara itu kini kembali ‘bertempur dalam peperangan besar bagi melawan penularan virus Covid-19’.
Negara itu kini kini dianggap menghadapi tragedi yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan 1.6 juta kes Covid-19 seminggu, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 15 juta.
Hospital-hospital di seluruh negara juga telah mencapai kapasiti penuh dan di Delhi, 55 peratus pesakit berusia bawah 40 tahun.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, India menyaksikan beberapa perhimpunan besar termasuk jutaan yang menghadiri festival keagamaan dan perhimpunan politik.
Pada masa yang sama, penghasilan vaksin koronavirus menjadi perlahan atau dihentikan terus di beberapa buah kilang.
Pengarah Hospital Niramaya di Mumbai, Dr. Amit Thadani berkata beliau diberitahu tentang gelombang kedua Covid-19 pada Februari lalu namun tidak menghiraukannya.
Kini, hopital dipenuhi pesakit dan sebaik sahaja pesakit keluar, ia diisi dengan pesakit lain dalam tempoh hanya beberapa minit.
“Orang ramai beratur di luar hospital dan kami menerima panggilan telefon setiap 30 saat daripada pesakit yang mahukan rawatan,” katanya.
Tambahnya, keadaan itu seharusnya disedari sejak berbulan lalu namun kerajaan tidak mengambil serius tentang amaran gelombang kedua.-KOSMO