Kes pukul OKU mental: Pempengaruh direman dua hari lagi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KEMAMAN: Pempengaruh yang dipercayai mengeluarkan kenyataan ugutan di laman sosial berhubung kes orang kelainan upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dibelasah, disambung reman dua hari lagi.

Hakim Mahkamah Sesyen Wan Suhaila Mohd membenarkan suspek disambung reman dua hari lagi hingga Rabu bagi membantu siasatan polis.

Terdahulu, suspek berusia 36 tahun dibawa anggota polis tiba di mahkamah jam 10.30 pagi.

Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Lelaki itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung satu hantaran di media sosial dipercayai milik pempengaruh itu yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan boleh mendatangkan kegusaran awam berkaitan kes OKU yang dipukul terbabit.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki OKU mental Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, dipukul beberapa individu di pasar pagi Padang Astaka Chukai, pada 17 Januari lalu.

Mangsa dipukul dipercayai selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan dijual tumpah.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dipercayai akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani terbabit.

Berikutan kejadian itu, pihak polis menahan enam orang lelaki bagi membantu siasatan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464