Kes bom pada kereta Siti Kasim: Siasatan masih diteruskan – Saifuddin Nasution

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Polis masih meneruskan siasatan berhubung penemuan dua bom buatan sendiri (IED) pada kereta aktivis dan peguam, Siti Kasim, 21 Julai lalu.

-Advertisement-

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kertas siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 berhubung kes itu sudah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Siasatan masih diteruskan, dan usaha mengesan suspek serta motif masih dalam tindakan pihak polis.

“Susulan kes ini masih dalam siasatan, pihak polis tidak berhasrat untuk mengulas lanjut,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai siasatan terkini kes penemuan IED dipasang pada kereta Siti Kasim, dan tindakan kementerian untuk memastikan insiden sama tidak berlaku lagi ke atas mana-mana rakyat biasa, aktivis atau pemimpin.

-Advertisement-

Pada 21 Julai lalu, Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim, dalam siaran langsung Facebook mendakwa keretanya diletakkan objek menyerupai bom.

Siti Kasim berkata, beliau menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya ke pusat servis di Bangsar, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution memaklumkan dari 2019 hingga Oktober 2023, sebanyak 17 kes berkaitan ugutan membabitkan bahan letupan ke atas individu atau organisasi, disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

“Kementerian komited dalam menentukan keselamatan dan keharmonian negara sentiasa terpelihara.

“Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk ancaman dan perbuatan cuba dilakukan pihak tertentu, yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman serta keharmonian rakyat,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427