Kes babitkan Ismail Sabri: Pengurup ditahan urus tukaran wang ditemui dalam ‘safehouse’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pengurup wang yang ditahan susulan kes rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Isnin lalu, mempunyai kaitan dengan sejumlah wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Sumber SPRM berkata lelaki itu memainkan peranan dalam melakukan pertukaran membabitkan Ringgit Malaysia kepada pelbagai mata wang asing.

“Pelbagai mata wang asing terbabit termasuk yang ditemui dan disita SPRM dalam serbuan sebelum ini,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika sidang media pada 3 Mac lalu mengesahkan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta 16 kilogram (kg) jongkong emas ditemui dalam serbuan dilakukan termasuk di sebuah ‘safe house’ susulan kes itu.

Semalam, Azam mengesahkan pengurup wang itu ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan bekas Perdana Menteri itu, dengan lelaki terbabit antara individu terbaharu ditahan susulan kes itu.

Bagaimanapun semasa dalam reman dua hari, lelaki itu tiba-tiba mengadu sakit jantung dan segera dirujuk kepada doktor yang mengesahkan dia mengalami masalah jantung tersumbat.

Berikutan itu, SPRM tiada pilihan selain melepaskan suspek kerana keadaan kesihatannya supaya dia boleh mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Azam berkata, proses rakaman keterangan bekas Perdana Menteri itu berkemungkinan akan mengambil masa beberapa hari lagi.

“Saya tidak dapat meramalkan bila proses ini akan selesai, tetapi saya boleh katakan ia akan mengambil beberapa sesi lagi.

“Proses rakaman keterangan masih berjalan dan terdapat ramai lagi individu yang akan diambil keterangan,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464