LANGKAWI: Kerajaan berusaha menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ia sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.
Katanya, langkah itu perlu bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup selepas 1.3 juta kakitangan awam tidak menerima kenaikan gaji sejak dua tahun lalu.
“Mengikut amalan, setiap 10 tahun kena ada kajian kenaikan gaji (penjawat awam), tapi dalam pemerintahan kerajaan sebelum ini perkara itu tidak berlaku.
“Bukan nak naik gaji, mesyuarat (berkaitan perkara itu) pun tiada, ini boleh tanya (kerajaan dulu),” katanya ketika berucap di program tinjauan mesra pelancongan dan perasmian Geopark Discovery Centre di sini, hari ini.
Anwar berkata adalah menjadi dasar kerajaan sekiranya ada kemampuan untuk membuat pelarasan semula gaji penjawat awam setiap 10 tahun dan ia sepatutnya telah dilakukan dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata kerajaan sebelum ini tidak melaksanakan perkara itu malah mesyuarat bagi membincangkan isu itu juga tidak dilakukan.
“Jadi bila kita adakan mesyuarat dan bila saya semak dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) saya kata kenapa tidak ada mesyuarat lagi? Dia kata takda. Pada hal gaji penjawat awam ini tiap 10 tahun ikut keupayaan kita, kalau kita boleh naik sikit kena naik sebab inflasi tu naik juga sikit,” katanya.
Perdana Menteri berkata hasil mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) perkara itu kemudian telah diteliti semula.
“Kita periksa semula fail, jadi saya selaku Menteri Kewangan kata kena ada keputusan gaji penjawat awam dinaikkan termasuk polis, tentera, penjawat-penjawat awam termasuk staf LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi),” katanya.
Beliau berkata, sementara menantikan kajian menyeluruh kenaikan skim gaji yang mengambil masa sehingga enam bulan, kerajaan bersetuju memberi dahulu sedikit kenaikan menerusi Belanjawan MADANI.
“Kerajaan berusaha mencari dana bagi menampung sedikit bayaran bagi penyelarasan gaji pekerja sektor swasta dan kajian mengenainya berada di peringkat akhir.
“Kita berusaha sediakan satu peruntukan kewangan kerajaan supaya boleh membantu mereka (pekerja swasta) untuk dinaikkan gaji pada kadar RM100 atau RM150 sebulan,” katanya.
Pada 13 Julai lalu, Perdana Menteri memaklumkan skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaan ekonomi negara dengan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat bersama KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan KPPA, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.
Sementara itu, Anwar mengumumkan tiga langkah drastik bagi menyelesaikan isu kebajikan yang sering dibangkitkan penduduk tempatan dan berlarutan sejak lama tanpa jalan penyelesaian.
Antaranya, kerajaan memberi jaminan menyelesaikan isu kekurangan trip perkhidmatan feri menghubungkan tanah besar ke pulau ini yang memberi impak negatif termasuk kemerosotan kemasukan pelancong.
“Memang ada masalah sikit (perkhidmatan feri), tapi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah ambil kes ini dan saya bagi jaminan kita selesaikannya dengan segera,” katanya.
Seterusnya, kerajaan bersetuju menyediakan ambulans laut bagi memudahkan pergerakan penduduk Pulau Tuba untuk menerima rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Maliha di sini.
“Kita dah tempah ambulans laut, tapi saya tak setuju lancar sekarang, tunggulah selepas dapat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.
Ketiga, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju meluluskan elaun seberang laut bagi penjawat awam yang bekerja di pulau itu.
“Orang luar yang (datang) bekerja di Langkawi kosnya bertambah, jadi kita dah luluskan elaun penjawat awam yang bertugas di Langkawi,” katanya.
– BH