KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan dan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi isu perlombongan haram di negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata kerajaan memandang serius perkara terbabit dan akan mengambil inisiatif meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan menghasilkan satu SOP untuk mengatasi isu itu.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan bila SOP terbabit akan dikeluarkan.
Lih Kang berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Penutup Program NGO@Makerthon, di sini, hari ini.
Semalam, BH melaporkan sebanyak 60 tapak perlombongan haram dikesan seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dilaporkan berkata, kebanyakan lombong haram itu membabitkan nadir bumi dan majoritinya berlaku di Kedah.
Sementara itu, ditanya berkenaan tindakan kerajaan memberi Lynas Malaysia tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini, Lih Kang berkata, syarat sama diberikan meskipun ada rayuan untuk gugurkan syarat terbabit.
“Kerajaan hanya memberikan lanjutan tempoh untuk operasi cracking and leaching (pemecahan dan peresapan) (C&L) sehingga hujung tahun dengan mengambil kira semua aspek.
“Walaupun Lynas membuat rayuan untuk gugurkan empat syarat itu, ia tidak dibenarkan,” katanya.
Antaranya, membabitkan aktiviti (C&L), penjanaan residu ‘water leach purification’ (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid daripada Australia. – Berita Harian