PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) secara dasarnya komited untuk menyediakan peruntukan kewangan secukupnya bagi membiayai perbelanjaan pembangunan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk tempoh 2021 hingga 2025.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukan perbelanjaan pembangunan untuk RMK-12 dianggarkan berjumlah RM400 bilion adalah peningkatan yang ketara
berbanding RM248.5 bilion bagi RMK-11.
“Peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi Belanjawan 2022 juga akan dipertingkatkan demi memacu aktiviti pemulihan sosio-ekonomi dan agenda pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Zafrul berkata, bagi memastikan ruang fiskal yang mencukupi untuk membiayai semua program pembangunan di bawah RMK-12, kerajaan kekal komited terhadap langkah konsolidasi fiskal berpandukan Rangka Fiskal Jangka Sederhana dan disokong Strategi Hasil Jangka Sederhana untuk meluaskan asas cukai serta meningkatkan kemampuan keberhutangan kerajaan.
“Dalam jangka masa pendek, terdapat keperluan untuk meningkatkan had statutori hutang bagi menyediakan ruang fiskal tambahan dalam menyokong pembukaan sektor ekonomi dan memastikan pemulihan yang mampan.
“Walaupun ini akan meningkatkan sasaran defisit Malaysia yang dianggarkan meningkat kepada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021, namun kerajaan tetap komited untuk langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana,” katanya.
Beliau menambah, selain itu cadangan penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) akan membantu meningkatkan tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan fiskal negara.
Katanya, keutamaan semasa kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman COVID-19 serta memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang.
“Keutamaan ini bukan sahaja akan dilaksanakan selari dengan teras-teras RMK-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), tetapi juga berteraskan prinsip pengurusan kewangan berhemah bagi mendepani situasi COVID-19 yang mencabar serta meminimumkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini.
“Ia selaras dengan sokongan penuh MOF ke atas objektif RMK-12 yang menjadi rangka tindakan untuk mengembalikan pertumbuhan ekonomi ke landasan yang mampan, memperkukuhkan keterangkuman sosio-ekonomi dan meningkatkan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, MOF akan menyelaraskan bidang keutamaan Belanjawan 2022 dengan fokus utama selaras dengan tema RMK-12 iaitu Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan.
“Belanjawan 2022 akan memberi tumpuan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan, atau 3R iaitu ‘Recovery’, ‘Resilience’, ‘Reform’,” katanya
Beliau berkata, antara fokus utama belanjawan tahunan negara adalah memulih dan membina semula daya ketahanan negara bagi menangani krisis pada masa depan, antara lainnya dengan memperkukuhkan sistem kesihatan awam.
“Sehubungan itu, Belanjawan 2022 akan menyokong strategi RMK-12 untuk meningkatkan kesiapsiagaan hospital negara serta kapasiti unit rawatan rapi (ICU) termasuk melalui usahasama dengan penyedia kesihatan swasta.
“Belanjawan 2022 juga memberi tumpuan membina daya tahan negara melalui konsep keterangkuman, terutamanya dari segi mengurangkan jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat dan jurang pembangunan terutamanya antara negeri,” katanya.
Beliau berkata, MOF juga akan memangkin pembaharuan selaras dengan dasar dan strategi yang diutarakan dalam RMK-12.
Justeru, katanya Belanjawan 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta meningkatkan pengamalan digital terutamanya oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Fokus RMK-12 kepada pembangunan lestari juga akan disambut dalam Belanjawan 2022 ke arah mencapai pelepeasan karbon sifar bersih, contohnya melalui dasar menggalakkan kenderaan elektrik (EV).
“Seterusnya, dengan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), pendigitalan dan penggunaan teknologi akan menjadi keutamaan untuk meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
“Selain itu, dasar ini juga seiring dengan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam jangka masa sederhana termasuk melalui pelaksanaan kerangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan juga inisiatif transformasi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di bawah program PERKUKUH Pelaburan Rakyat,” katanya. -BH