Kenapa sanggup ambil risiko ditahan dengan ke pub, kelab malam?

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pakar berkata sikap tidak peduli, ingkar dan ekstroversi antara punca individu terus mengunjungi pub dan kelab malam, walaupun berisiko ditahan.

-Advertisement-

Tempat sedemikian ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu, tetapi mereka yang ditahan secara konsisten menyumbang kepada kebanyakan tangkapan harian kerana tidak mematuhi SOP.

Tangkapan itu mencatat rekod tertinggi 600 orang pada 31 Ogos lalu.

Pakar psikologi dan kriminologi, Geshina Ayu Mat Saat dari Universiti Sains Malaysia berkata, ketidaksabaran untuk meneruskan kehidupan sosial, rasa layak dan tidak mempercayai berita rasmi mungkin antara sebab terhadap pengingkaran SOP.

“Kebanyakannya disebabkan sikap tidak peduli, tidak berminat dengan maklumat atau isu yang dibangkitkan dalam platform tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada FMT.

“Bagi sesetengah orang, isu yang dibangkitkan dalam berita dilihat berfungsi sebagai agenda politik dan manipulasi kerajaan, walaupun berita itu sangat penting.

“Bagaimanapun, sebahagiannya juga disebabkan tidak boleh melakukan aktiviti yang menjadi kebiasaan sebelum penularan pandemik.”

Geshina turut menyentuh daya tarikan melanggar undang-undang bagi sesetengah individu yang ekstrovert dan suka bergaul.

“Keterujaan dalam mengambil risiko antara sebab mereka kerap mengunjungi bar dan pub.”

Katanya, satu lagi faktor untuk dipertimbangkan ialah harapan orang terhadap apa yang mereka anggap sebagai hak mereka.

Beliau berkata, sesetengah individu yang ditahan itu mungkin memikirkan kemungkinan mereka ditahan adalah tipis memandangkan jumlah bar dan pub di negara ini.

Pada 28 Ogos lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam ucapannya berkata, pusat hiburan masih ditutup sepanjang perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akibat kesukaran untuk melaksanakan SOP.

-Advertisement-

Dalam sebuah konvensyen politik 3 hari kemudian, beliau berkata, bar dan pub antara beberapa perniagaan yang akan terus ditutup ketika PKPP.

Minggu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob yang mendapati tangkapan tinggi membabitkan aktiviti di kelab malam dan pub, berkata beliau meminta pihak berkuasa tempatan membatalkan lesen premis itu dan mencadangkan pemiliknya dipenjarakan.

Ronald Lee dari Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling berkata, walaupun orang ramai diberitahu sukar untuk mengamalkan penjarakan fizikal di bar dan pub, sesetengah orang mungkin fikir premis sedemikian tiada beza dengan pengangkutan awam yang sesak ketika waktu puncak atau kesesakan di pusat beli-belah dan pesawat.

“Alasannya mungkin ‘jika itu boleh, pergi ke bar pun tidak apa selagi saya memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan tidak menyentuh muka saya’.

“Ini mungkin salah satu alasan berkaitan proses membuat keputusan berisiko kesihatan. Mungkin ada sebab lain juga, seperti tekanan rakan sebaya atau kecenderungan optimisme, di mana mereka fikir ia tidak mungkin berlaku ke atas saya.”

Philip George, yang mengetuai Jabatan Psikiatri di Universiti Perubatan Antarabangsa, berkata manusia ialah makhluk sosial dan kurang peluang bergaul boleh menjadi tekanan bagi sesetengah orang.

Walaupun tiada kajian atau penyelidikan dilakukan mengenai punca orang terus mengambil risiko ditahan dengan pergi ke bar atau pub, katanya, PKP selama 3 bulan, di mana semua pergerakan tidak penting dilarang “pasti” ialah faktornya.

“Kini mereka terlebih meraikan peluang untuk bergaul.”

George turut mendapati berita palsu mungkin memainkan peranan dalam mempengaruhi tingkah laku manusia.

Merujuk cakap-cakap mengenai minum alkohol untuk mengurangkan risiko dijangkiti virus, katanya: “Biasanya, alkohol digunakan untuk membersihkan tangan anda, tetapi mulut anda?

“Ada tempat lain seperti telinga dan mata. Adakah anda akan tuang alkohol ke sana juga?” -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427