Kelantan perkenal gelang hijau pengawasan COVID-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU, 9 Nov — Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan memperkenalkan gelang hijau pengawasan COVID-19 untuk dipakai individu tertentu yang perlu menjalani pemantauan.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata gelang hijau pengawasan itu akan dipakaikan kepada pegawai-pegawai termasuk golongan orang kenamaan (VIP) dari zon merah yang bertugas ke negeri ini atas urusan rasmi.

“Bermula semalam kita mula perkenalkan gelang pengawasan berwarna hijau bagi pegawai-pegawai atau golongan VIP yang masuk ke negeri ini atas tujuan rasmi yang akan dikenakan di sekatan pintu-pintu masuk negeri termasuk di lapangan terbang dan empat pintu masuk ke negeri ini.

“Jika surat kebenaran merentas negeri adalah bertujuan untuk bermesyuarat, individu berkenaan hanya dibenarkan untuk ke lokasi mesyuarat sahaja.

“Sebaik sahaja urusan rasmi itu selesai, gelang itu akan digunting sebelum mereka pulang ke negeri asal dan mereka tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya tidak mempunyai simptom,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Sebelum ini, gelang berwarna pink dipakai kepada individu dari zon merah yang masuk ke negeri ini atas tujuan umum untuk pulang ke kampung dan mereka perlu dikuarantin selama 14 hari selepas melakukan ujian saringan COVID-19.

Dr Izani turut merasa bimbang susulan bermula cuti persekolahan yang diumumkan semalam dan meminta agar semua masyarakat terutamanya rakyat di negeri ini supaya kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam membendung penularan COVID-19.

“Setakat ini alhamdulillah, Kelantan masih tidak melebihi 200 angka kes COVID-19, namun kita khuatir susulan bermula cuti persekolahan yang pastinya mereka yang berada di asrama, universiti akan pulang…dan kebanyakannya adalah dari zon merah, jadi kita minta mereka kekal patuh kepada SOP dan menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Sekiranya rakyat mematuhi SOP kita boleh memutuskan penularan COVID-19 sehingga 80 peratus. Sehingga kini, masyarakat dilihat tidak mematuhi SOP yang ditetapkan secara maksimum dan ianya perlu dipertingkatkan,” katanya. -BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427