Kejohanan Imakara Shito-Ryu sasar 200 peserta

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kejohanan Kanak-Kanak dan Remaja Jemputan Aeon Imakara Shito-Ryu Selangor 2023 bakal dianjurkan buat kali kedua, Sabtu ini dengan objektif utama mencungkil bakat muda yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih kompetitif.

-Advertisement-

Kejohanan di Subcourt Aeon Mall AU2 Setiawangsa itu bakal menghimpunkan kanak-kanak dan remaja dari umur empat tahun sehingga 18 tahun dengan pihak penganjur mempertandingkan tujuh kategori iaitu kata (seni) dan tujuh kumite (tempur) lelaki dan wanita.

Pengerusi pengelola kejohanan, Amirul Iman Dollah, berkata kejohanan kali ini adalah kesinambungan daripada kejayaan edisi sulung pada 2019 yang berjaya menarik lebih kurang 145 peserta dari Selangor dan Kuala Lumpur dan untuk kali ini, mereka menyasarkan penyertaan sehingga 200 peserta.

“Semua kategori pertandingan ini mengikut peringkat umur. Untuk kategori kata dari serendah empat tahun sehinggalah 18 tahun manakala kumite pula mengikut julat umur dua tahun iaitu sebagai contoh lima hingga enam tahun berada dalam satu kategori dan begitulah seterusnya.

“Menerusi pemecahan kategori spesifik ini, sasaran kita adalah untuk mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja seramai yang mungkin.

“Ini secara tidak langsung menyokong pembangunan karatedo di Selangor sekali gus memastikan Majlis Sukan Negeri Selangor dapat membuat pilihan dan menyediakan barisan atlet terbaik untuk menyertai kejohanan besar bagi peringkat kanak-kanak dan remaja seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan karatedo kebangsaan,” kata Amirul Iman dalam satu sidang media menjelang kejohanan, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Amirul Aiman berkata, pihaknya juga berbesar hati apabila kejohanan kali ini menerima tajaan rasmi dari syarikat pakaian seni bela diri, Shukaido.

Duta Shukaido Malaysia, Mohd Syafiq Wan Shariman berkata, peserta tidak akan pulang dengan tangan kosong apabila kesemuanya akan menerima pingat dan barangan cenderahati.

“Hadiah diberi kepada pemenang dalam bentuk pingat tetapi kepada semua atlet yang bertanding kali, kita akan berikan cenderahati… walaupun tak ada rezeki menang pingat tetapi dapat pulang dengan cenderahati dari penaja sendiri.

“Cenderahati berbentuk baju dan pingat sagu hati selain beberapa cenderahati yang lain. Ada pingat sagu hati untuk semua peserta dan pemenang juga ada pingat kemenangan. Kita rancang untuk memberikan kepada semua supaya mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

“Disebabkan pertandingan ini mengutamakan kanak-kanak, jadi kita tak mereka balik dengan rasa hampa, paling tidak mereka tahu… kalau tak ada rezeki untuk menang kali ini, mereka ada sesuatu untuk dibawa pulang,” kata Syafiq.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427