JOHOR BAHRU: Pemain tengah, Syamer Kutty Abba menyifatkan kehadiran dua pemain warisan, Hector Hevel dan Gabriel Palmero akan memperkuatkan lagi skuad Harimau Malaya menghadapi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Selasa ini.
Syamer Kutty yang beraksi bersama Penang FC dalam kancah Liga Super berkata, kehadiran mereka turut mewujudkan persaingan yang sihat seterusnya membakar semangat pemain lain untuk memberikan persembahan terbaik.
“Selain itu, pemain berdarah Malaysia yang beraksi di luar negara juga akan menaikkan nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa,” katanya.
Sesi latihan Harimau Malaya yang memasuki hari ketiga mencuri tumpuan peminat bola sepak dengan kehadiran Hevel dan Palmero yang buat pertama kali berlatih bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian Peter Cklamovski.
Menerusi satu ciapan di Instagram Malaysia National Team, kelibat Hevel dan Palmero dilihat sudah turun ke padang sambil dipantau oleh ketua jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain.
Dalam pada itu, Syamer Kutty bersedia untuk memberikan segalanya bagi mencuri tempat dalam skuad kebangsaan termasuk bermain di posisi yang berbeza.
Dia juga berharap dapat menjadi pilihan Cklamovski selepas mampu beraksi di beberapa posisi sekali gus memberikan fleksibiliti buat ketua jurulatih kelahiran Australia itu mencongak percaturan terbaiknya.
“Saya adalah pemain yang boleh beraksi di dua ke tiga posisi dalam pasukan, jadi itu akan beri kelainan kepada ketua jurulatih dan saya harap sangat dengan apa yang saya boleh berikan ini akan dapat membantu pasukan dalam perlawanan nanti.
“Saya rasa mungkin ada perubahan posisi, baik sama ada beraksi di bahagian tengah bertahan atau ditukarkan ke bek tengah. Apa pun posisi yang diberikan, saya akan memberikan yang terbaik untuk terpilih dalam kesebelasan utama,” ujar Syamer Kutty.
-BeritaHarian