KUALA LUMPUR- Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur mengutuk sekeras-kerasnya pengumuman Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan penempatan Israel di Tebing Barat tidak lagi dianggap perumahan haram.
Ia menyatakan, pengumuman Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo mencabuli undang-undang antarabangsa, persepakatan antarabangsa sejak sekian lama berhubung isu itu dan kemahuan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, pihak yang berikat dengan Konvensyen Geneva dan Ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, Ketetapan 2334 Majlis Keselamatan PBB (2016) mengesahkan bahawa penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur, adalah penempatan haram dan dianggap pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa.
“Pentadbiran AS ketika ini mengguna pakai agenda antiPalestin dan berusaha memperkuat serta mengiktiraf agenda penjajahan pendatang Israel.
Ia digerakkan oleh ideologi dan dasar tidak bertanggungjawab, termasuk pengumuman terbaru oleh Pompeo ini, membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa pentadbiran AS sekarang sudah bersekutu dengan usaha haram penjajah Israel,” kata kedutaan itu dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dengan ini, AS juga sudah gagal menenuhi syarat asas untuk menjadi penggerak utama sebarang penyelesaian akan datang, menurut kenyataan itu lagi.
Media antarabangsa melaporkan, Pompeo pada Isnin berkata, pentadbiran AS tidak lagi terikat oleh pandangan perundangan Jabatan Negara 1978 yang menganggap bahawa penempatan Israel sebagai ‘tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa’.
Sementara itu, Palestin menggesa masyarakat antarabangsa untuk segera memberi reaksi tegas terhadap pendirian baharu AS itu dengan menyokong perjuangan Palestin di peringkat antarabangsa bagi melindungi usul damai dua negara.
Ia boleh dilakukan dengan mengiktiraf sempadan Negara Palestin 1967 termasuk Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, menekankan keperluan menghormati undang-undang antarabangsa dan mematuhi Piagam PBB.
Kepemimpinan Palestin juga akan terus mengambil semula langkah yang boleh bagi menghormati tangungjawab moral dan politiknya terhadap rakyat Palestin serta mempertahankan hak kebangsaan mereka termasuk hak hidup dengan bermaruah, bebas dan sejahtera, katanya.- BERNAMA