KUALA BERANG: Tidak sampai 24 jam seorang peniaga membersihkan kedai makan yang diusahakan di Kampung Basung di sini, premis itu sekali lagi dinaiki air susulan hujan berterusan pada Jumaat lalu.
Lebih memeritkan, kedai yang menjual makanan pagi dan minum petang sejak 20 tahun lalu itu ditenggelami banjir sedalam lebih tiga meter.
Peniaga, Azri Mamat, 40, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM15,000 kerana pelbagai barangan yang ada di dalam kedainya rosak kerana ia gagal diselamatkan berikutan air naik dengan cepat.
“Hujan mula melanda pada Rabu lalu sehingga menyebabkan kedai dinaiki air sehingga 0.3 meter dan kami membersihkan rumah pada pagi Jumaat lalu selepas air surut.
“Namun, hujan yang melanda sebelum solat Jumaat lalu menyebabkan kedai sekali lagi dinaiki air sehingga menenggelamkan hampir keseluruhan kedai.
“Pada sebelah malam (Jumaat), kedai hanya nampak bumbung sahaja dan banjir kali ini memang lagi teruk berbanding 2014,” katanya
Tambah Azri lagi, air mulai surut pada Sabtu lalu dan barangan di dalam kedai berterabur serta dipenuhi lumpur.
“Kami mula mengemas sejak semalam dan setakat ini, saya tidak tahu apa barang yang hilang sebab masih lagi mengemas.
“Sebenarnya, barang-barang sudah disimpan di tempat yang tinggi memandangkan kawasan ini memang dinaiki air setiap kali musim tengkujuh tetapi banjir kali ini memang luar biasa kerana air naik terlalu cepat.
“Sekarang ini, fokus kami adalah untuk membersihkan kedai dengan segera supaya kami dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.
-BeritaHarian