IPOH, — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya merampas sejumlah 10.64 juta batang rokok putih bernilai RM851,200 dalam satu serbuan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang pada 8 Okt lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Malaysia Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata rampasan yang dilakukan terhadap sebuah kontena sepanjang 12 meter itu melibatkan anggaran duti atau cukai sebanyak RM7.1 juta serta cukai jualan sebanyak RM723,520.
“Hasil siasatan awal mendapati pengimport melakukan penipuan dalam borang manifest dengan menyatakan barangan yang dibawa masuk adalah kasut.
“Namun, setelah pemeriksaan lanjut dibuat mendapati bahawa kontena tersebut membawa dagangan rokok yang merupakan barang larangan kastam di bawah Perintah Duti Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata pihaknya masih menyiasat pengimport berkenaan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1967.
Dalam pada itu, pada Isnin lalu, JKDM Perak juga berjaya merampas kira-kira 4,376.52 liter minuman keras pelbagai jenis termasuk bir dan samsu di sebuah premis di Puchong, Selangor.
Abdul Latif berkata nilai barangan yang dirampas dianggarkan berjumlah RM26,673.85 dan duti atau cukai berjumlah RM109,206.35.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan dua lelaki berumur lingkungan 20 dan 40-an turut ditahan,” katanya.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau berkata kedua-dua kes itu dilakukan sempena Op Sinar yang bermula dari 1 Okt lepas sehingga tamatnya perayaan Deepavali hujung bulan ini. — BERNAMA