Kapasiti PKRC seluruh negara kini 60 peratus

Estimate Reading Time: < 1 minute

Ipoh: Kadar kapasiti penggunaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara ketika ini berada pada tahap 60 peratus, kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

-Advertisement-

Beliau berkata, beberapa pilihan seperti penggunaan Institut Latihan Awam Persekutuan di seluruh negara dan asrama awam akan diguna pakai sekiranya jumlah pesakit di PKRC terus bertambah, namun ia bergantung kepada kes dan keadaan semasa.

“Kita akan pastikan ada ruang (penampan) 20 peratus bagi setiap PKRC. Kalau sudah sampai 80 peratus (kapasiti), kita akan cari pilihan tertentu. Antara pilihan itu adalah kita mempunyai 360 buah Institut Latihan Awam Persekutuan di seluruh negara.

“Itu merupakan satu potensi, begitupun kebanyakan institut awam ini kita gunakan sebagai pusat kuarantin bagi mereka yang balik dari luar negara dahulu. Sekiranya berlaku keadaan agak kritikal di PKRC, Nadma akan menggunakan pilihan berkenaan tetapi tidak melibatkan semua negeri dan bergantung kepada kekuatan yang ada,” katanya selepas melawat PKRC Arena Badminton Ipoh, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Katanya, aset awam (bangunan dan infrastruktur kerajaan) dipilih kerana ia boleh digerakkan secepat mungkin menerusi kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan negeri selain boleh mengurangkan beban kos membiayai setiap pusat kuarantin dan PKRC yang dilihat amat tinggi.

Keperluan menambah PKRC sedia ada bagi menampung pesakit Covid-19 terutamanya kategori satu dan dua, akan terarah serta difokuskan kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di Johor Bahru dan Lembah Klang terlebih dahulu.

Nadma bertanggungjawab terhadap kelicinan proses di semua 80 PKRC seluruh negara yang membabitkan kira-kira 5,000 petugas kesihatan dan bukan kesihatan, selain 30,000 katil untuk menampung pesakit-pesakit pandemik itu.

Agensi itu kini sedang mengadakan siri lawatan ke semua PKRC di seluruh negara pasca Hari Raya Aidilfitri bagi melihat situasi semasa pusat-pusat kuarantin dari segi kapasiti dan perjalanan proses pentadbiran.-BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427