KOTA BHARU: Semangat untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) mendorong sekumpulan penduduk kampung menghasilkan replika kapal gergasi berlambangkan bendera PAS di Kampung Teluk Belanga, Sering, di sini.
Replika kapal dengan ketinggian 17 meter dan lebar hampir empat meter itu dihasilkan dalam masa tiga minggu dengan kerjasama lebih 20 penduduk kampung membabitkan kos RM600 hasil sumbangan penduduk.
Muhamad Anuar Che Mahmod, 40, yang mengetuai pembinaan kapal itu berkata, sudah menjadi tradisi bagi penduduk di situ untuk bersama-sama berganding bahu membina pelbagai bentuk replika untuk ‘menghangatkan’ lagi tempoh berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor.
“Lebih menarik, apabila alat yang digunakan untuk membuat replika kapal ini hanya berasaskan barangan terbuang seperti kayu, papan, serta sepanduk terpakai yang digunakan untuk membalut replika berkenaan.
“Sebelum ini replika yang kami cipta hanya untuk dilihat atau bergambar, tetapi kali ini kami bina yang membolehkan pengunjung naik dan merasai sendiri pengalaman berada di atas kapal,” katanya ketika ditemui di tapak replika kapal gergasi di Kampung Teluk Belanga, Sering, di sini malam tadi.
Muhamad Anuar berkata, replika kapal itu juga sudah mula viral di media sosial selepas dimuat naik beberapa individu kerana saiznya yang besar, selain dilihat menarik pada waktu malam selepas dihiasi dengan lampu pada seluruh kapal terbabit.
Sementara itu, Azmi Ismail, 53, berkata sebelum ini penduduk kampung berkenaan pernah membina replika seperti kapal selam, kapal terbang dan helikopter juga pada saiz gergasi sebagai tanda menyemarakkan lagi suasana pilihan raya
“Setiap kali tiba PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU,) kami di sini akan mula bersemangat berkongsi idea apa yang mahu dibina kerana kampung ini memang dikenali dengan kemunculan replika kreatif setiap kali pilihan raya.
“Kami berasa puas apabila hasil tangan kami menjadi dan berharap agar ia dapat memberi manfaat, selain membantu menyemarakkan suasana di sepanjang tempoh berkempen ini,” katanya.
– BH