Kamus Mato Daro – Melayu dijangka diterbit tahun depan

Estimate Reading Time: 2 minutes

DARO (Sarawak)- Satu daftar kata dan kamus yang menterjemahkan bahasa suku kaum Melanau kepada bahasa Melayu dijangka diterbitkan pada tahun depan.

-Advertisement-

Bekas Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Pof Madya Dr Mohd Sharifudin Yusop berkata kamus tersebut memfokus kepada bahasa Melanau bagi kawasan Matu, Daro dan Pulau Bruit.

Misi pendokumentasian bahasa Melanau di kawasan itu di bawah projek Pelestarian Bahasa Sukuan dan Bahasa Daerah UNESCO/Dewan Bahasa dan Pustaka/Kementerian Pendidikan telah berjalan sejak Januari tahun ini.

“Kemajuan pendokumentasian bahasa Melanau bagi kawasan Matu, Daro dan Pulau Bruit ini telah mencapai sekitar 60 peratus. Kamus ini kita jangka dapat diterbitkan pada tahun depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang bersara secara pilihan dari UPM pada tahun lalu dan menjadi perunding dan pakar rujuk disiplin antropologi linguistik khusus berkaitan bahasa Orang Asli dan bahasa Sukuan di Sabah dan Sarawak sejak 2013 berkata, pendokumentasian tersebut turut merangkumi pensahihan fonetik bahasa tersebut.

-Advertisement-

Mohd Sharifudin berkata segala daftar kata yang dibuat bukan semata-mata menekankan ejaan malah didokumentasi mengikut sebutan penutur jati bahasa itu dengan menggunakan sistem transkripsi fonetik yang dikenali sebagai Abjad Fonetik Antarabangsa (IPA).

“Ini adalah untuk memastikan bahasa Melanau di kawasan tersebut kekal sampai bila-bila mengikut sebutan penutur jatinya walaupun mereka itu mungkin sudah tiada lagi pada masa akan datang,” katanya.

Pada Kolokium Bahasa Melanau Matu, Daro dan Pulau Bruit yang diadakan di Pejabat Daerah Daro petang semalam bersempena projek itu, seramai 50 peserta daripada kawasan terbabit yang dibahagikan kepada lima kumpulan telah sama-sama memikir dan mencadangkan nama yang sesuai bagi kamus itu kelak.

Setelah dibentangkan dengan hujah yang berpandukan kepada sejarah tempatan, kamus tersebut akan dinamakan sebagai Kamus Mato Daro – Melayu.

Untuk rekod, bahasa Melanau Matu, Daro dan Pulau Bruit tidak ketara perbezaannya antara satu sama lain namun berbeza dengan bahasa Melanau bagi kawasan lain seperti Belawai-Rejang, Mukah, Dalat, Balingian, Bintulu dan Miri.– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427