Kadar faedah turun jika pandemik bertambah buruk

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Terdapat kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempertimbang untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan, jika situasi COVID-19 menjadi bertambah buruk.

-Advertisement-

Kenanga Research dalam notanya berkata, dengan ruang fiskal yang terhad dan ruang hutang untuk mengumpulkan dana bagi membiayai defisit semakin menyusut selain langkah menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin terhad atau tidak berkesan, bank pusat mungkin mempertimbang untuk mengurangkan OPR.

Namun, firma penyelidikan itu menegaskan, kemungkinan situasi itu berlaku adalah rendah buat masa ini dan pihaknya mengekalkan pandangan bahawa OPR akan kekal pada 1.75 peratus untuk baki tahun ini.

“Kami masih percaya bahawa mod dasar monetari BNM masih menyesuaikan diri dengan peralihan ke arah neutral daripada agresif kerana ia melihat peningkatan dalam pemulihan pertumbuhan global bersama dengan kenaikan harga komoditi dan inflasi keseluruhan.

“Secara keseluruhan, nada pernyataan tidak banyak berubah daripada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) sebelumnya,” katanya.

-Advertisement-

Sementara itu, AmBank Research pula menjangkakan OPR akan dikekalkan pada paras semasa sepanjang tahun ini memandangkan kadar faedah semasa mencukupi untuk menampung ekonomi dan pengurangan selanjutnya dalam kadar faedah tidak mungkin membantu merangsang ekonomi.

Ia berkata, sebarang keputusan mengubah OPR akan dipengaruhi oleh data dan maklumat baharu, selain implikasi terhadap keseluruhan tinjauan bagi inflasi dan pertumbuhan domestik.

“Aliran meningkat tekanan inflasi kekal didorong oleh tekanan kos berikutan gangguan bekalan susulan sekatan pergerakan yang lebih ketat bagi membendung pandemik.

“Inflasi dijangka kekal sementara. Lonjakan baru-baru ini disebabkan oleh asas rendah dan diunjurkan menjadi sederhana dalam jangka masa terdekat kerana kesan asas ini hilang. Bagi tahun penuh 2021, inflasi dijangka sekitar 3.0 peratus,” katanya.

Sementara itu, OCBC Bank dalam nota penyelidikannya pula menjangkakan terdapat potensi bagi BNM melakukan apa yang boleh untuk mendorong pertumbuhan dengan mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas jika langkah membendung penularan pandemik yang ketat mengambil masa lebih lama daripada dijangkakan.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427