TURIN, Itali: Juventus menyekat Inter Milan daripada menggantikan Napoli di tangga teratas Serie A awal pagi tadi dengan mengalahkan musuh tradisi mereka 1-0 sekali gus melonjak ke kedudukan Liga Juara-Juara.
Francesco Conceicao memastikan Napoli kekal dua mata di depan juara bertajan Inter dengan menjaringkan satu gol kemenangan klasik 16 minit sebelum tamat aksi menarik di Turin.
Penyerang Portugal itu meledak gol keempatnya musim ini dalam semua pertandingan selepas gerakan cemerlang daripada Randal Kolo Muani memberikan Juve kemenangan ketiga berturut-turut dalam liga.
Juve di tangga keempat dengan 46 mata, mendahului Lazio menerusi perbezaan gol selepas Lazio mengikat Napoli 2-2 Sabtu lalu.
Namun Napoli kekal di puncak dengan pasukan kendalian Antonio Conte dan Inter bertemu di Naples dua minggu lagi, perlawanan yang mungkin menjadi kunci kejuaraan Scudetto.
“Kemenangan malam ini memberikan kami keyakinan dan kesedaran apa yang mampu kami lakukan,” kata Thiago Motta, yang mana musim pertama kendaliannya di Juve berdepan kesukaran.
“Mereka berhak dengan usaha yang mereka lakukan ketika latihan dan hakikat mereka melontarkan segala-galanya dalam setiap perlawanan.”
Juve kini mengalih tumpuan kepada aksi timbal balik playoff Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven awal pagi Khamis ini, dengan pasukan Motta mendahului 2-1 susulan aksi pertama di Turin.
-AFP
-BeritaHarian