KUALA LUMPUR: Tiada lagi wakil Malaysia dalam acara perseorangan lelaki di Terbuka Malaysia selepas wakil tunggal, Leong Jun Hao terkandas di pusingan pertama, sebentar tadi.
Bagaimanapun, Jun Hao memberi tentangan sengit sebelum tewas di tangan wakil China, Lu Guang Zu dalam pertarungan tiga set yang berlangsung selama 82 minit.
Pada aksi di Axiata Arena Bukit Jalil itu, Jun Hao yang menghuni ranking ke-29 dunia tewas set pertama 17-21 sebelum kembali bangkit dengan memenangi set kedua 21-16 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Namun, Guang Zu yang berada di ranking ke-16 dunia menampilkan dominasi penuh dalam set ketiga dengan permainan agresif dan kawalan gelanggang yang kemas sebelum dia menoktahkan permainan dengan kemenangan 21-13.
Jun Hao menjadi wakil tunggal negara yang menggalas tugas dalam acara perseorangan lelaki di kejohanan bertaraf Super 1000 itu selepas perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia menarik diri.
Zii Jia menarik diri kerana masih belum pulih daripada kecederaan ligamen buku lali kanan dialaminya ketika saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan lalu.
Sementara itu, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jin yang membuat penampilan terakhir sebagai gandingan dalam Terbuka Malaysia kali ini turut ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama.
Pasangan itu terpaksa akur apabila tewas di tangan gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 22-20, 10-21.
-BeritaHarian