KUALA LUMPUR, 5 April — Platform e-Dagang, Lazada, menyaksikan peningkatan penyertaan penjual sebanyak 50 peratus dari tahun ke tahun semasa sambutan Jualan Ulang Tahun Kesembilannya, yang diadakan pada 27 Mac 2021.
Lazada dalam satu kenyataan hari ini berkata lebih daripada 80 peratus jenama LazMall tempatan juga mengambil bahagian dalam festival sehari itu.
Sementara itu, penjual berprestasi terbaik yang memanfaatkan kemudahan pemasaran digital Penyelesaian Tajaan Lazada yang merangkumi “Sponsored Discovery”, meraih pulangan pelaburan lebih daripada RM9,500 untuk setiap satu ringgit yang dilaburkan.
“Selain itu, lebih 1,000 penjual mendapat faedah daripada menyertai kempen Penaja Gabungan memandangkan 100 peratus penjualan mereka datang melalui saluran ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia dan Ketua Pegawai Strategi Lazada Group, Magnus Ekbom berkata sokongan berterusan daripada pengguna, rakan jenama dan penjual telah melonjakkan jenama itu di Malaysia.
“Sokongan yang ditunjukkan telah menjadikan Lazada sebagai pemangkin dalam mengubah cara orang berbelanja dan bagaimana peniaga berurusan selain, meningkatkan ekonomi tempatan.
“Ini seterusnya mengukuhkan kedudukan kami sebagai platform e-dagang pilihan dan yang paling dipercayai di Malaysia,” katanya.
Dengan wabak yang memaksa orang tinggal di rumah, Lazada memberitahu ciri penstriman langsung dan gamifikasi e-dagangnya telah membuka peluang bagi rakyat Malaysia untuk terlibat secara aktif semasa Jualan Ulang Tahun itu.
Acara Super Parti Lazada selama dua jam pula merekodkan lebih daripada dua juta penonton di semua platform, manakala purata masa yang dihabiskan untuk bermain LazGames melalui aplikasi Lazada juga meningkat dua kali ganda.
“Pembeli juga mengundi 11 juta kali melalui LazFeed untuk hadiah ulang tahun kejutan Lazada,” katanya, sambil menambah, jumlah pengguna Malaysia yang memakai Lazada Wallet sebagai kaedah pembayaran pilihan mereka juga menokok dua kali ganda tahun ini.
Keupayaan logistik Lazada turut memainkan peranan utama semasa kempen itu, dengan penghantar bergerak sehingga 124,000 kilometer bagi memastikan pembeli menerima pakej mereka mengikut jadual.
— BERNAMA