BANGALURU: Saham Domino’s Pizza Enterprises Australia menjunam lebih 11 peratus pada Selasa selepas syarikat itu mencatatkan penurunan keuntungan separuh pertama selain kelembapan momentum jualan bagi tempoh tujuh minggu pertama separuh kedua tahun kewangan 2025.
Setakat jam 0025 GMT, harga sahamnya susut 10.7 peratus kepada A$28.80, paras terendah sejak 16 Januari, sekali gus menjadikannya antara saham paling rugi dalam indeks penanda aras ASX200.
Domino’s Pizza Enterprises, pengendali francais terbesar Domino’s Pizza di luar Amerika Syarikat, melaporkan pertumbuhan jualan kedai sama sebanyak 1.5 peratus bagi tujuh minggu pertama separuh kedua 2025. Kadar ini lebih perlahan berbanding pertumbuhan 4.3 peratus dalam tempoh lima minggu pertama yang mendapat lonjakan daripada sambutan Tahun Baharu Cina.
Penganalisis di Jefferies berkata kadar pertumbuhan dalam tempoh tujuh minggu itu mencerminkan prestasi asas syarikat dan berada di bawah jangkaan konsensus Visible Alpha sebanyak 2.6 peratus bagi separuh kedua tahun ini.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 29 Disember 2024, syarikat itu melaporkan keuntungan selepas cukai daripada operasi berterusan sebanyak A$58.8 juta, lebih rendah daripada anggaran konsensus Visible Alpha sebanyak A$59.3 juta.
Domino’s Pizza Enterprises mengendalikan francais utama terbesar jenama Domino’s Pizza Amerika Syarikat di 12 negara merangkumi Asia, Eropah, Australia dan New Zealand, dengan Jepun menyumbang lebih satu perempat daripada jumlah cawangannya.
Pendapatan syarikat merosot di pasaran utama, dengan rantau Asia mengalami penurunan 7.1 peratus kepada A$402 juta pada separuh pertama.
“Sepanjang tahun kalendar 2024, operasi kumpulan di Asia terkesan oleh beberapa faktor luaran, termasuk ketegangan geopolitik yang menjejaskan jualan di Malaysia serta isu jenama berkaitan bekalan bahan mentah di Taiwan,” kata syarikat itu.
Bagaimanapun, Domino’s tetap mengisytiharkan dividen interim sebanyak 55.5 sen Australia sesaham, sama seperti tahun sebelumnya.
-Reuters
-BeritaHarian