JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEREMBAN- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengutip hasil bidaan lebih RM1.2 juta bagi siri nombor pendaftaran NDN dalam tempoh lima hari bermula 28 Nov lepas.

-Advertisement-

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Azrin Borhan berkata NDN 1 menjadi nombor paling mahal dibida melalui pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) dengan bidaan tertinggi bernilai RM136,000.

“Bidaan kedua tertinggi merupakan nombor pendaftaran NDN 9 bernilai RM81,000 diikuti NDN 3 yang bernilai RM55,000 dan NDN 8 dengan nilai bidaan sebanyak RM48,000.

“Lima nombor pendaftaran yang paling banyak dibida ialah NDN 11 dengan 11 pembida, NDN 86 (10 pembida) serta masing-masing sembilan pembida bagi NDN 99, NDN 26 dan NDN 94. Nombor pendaftaran NDN 94 adalah bidaan terendah bernilai RM2,000,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 116,582 orang telah mendaftar dalam sistem JPJeBid namun hanya seramai 860 orang yang membida bagi siri itu.

Katanya, kutipan hasil bidaan siri nombor pendaftaran NDN lebih RM1.2 juta itu juga adalah yang tertinggi direkodkan oleh JPJ Negeri Sembilan bagi bidaan nombor pendaftaran.

-Advertisement-

“Sebelum ini kita tidak pernah mencecah kutipan hasil RM1 juta untuk bidaan nombor pendaftaran. Untuk kutipan hasil bagi nombor pendaftaran NDM (2019) ialah sebanyak RM777,000 manakala nombor pendaftaran NDL (2018) sebanyak RM678,000 dan NDK (2018) sebanyak RM690,000,” katanya.

Azrin berkata kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBid adalah dengan menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja.

“Pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran fi perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida. Tiada sekatan untuk melakukan bidaan.

“Bagaimanapun, setiap individu hanya layak untuk memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala bagi perniagaan dan syarikat adalah tidak melebihi lima nombor kenderaan sahaja. JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat. Pembida boleh mengetahui kedudukan secara ‘real time’ dan tiada unsur campur tangan manusia,” katanya.

Beliau berkata mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan oleh Pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Katanya, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427