Johor sedia jadi ‘food bank’ negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri komited menjalin kerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam usaha menjadikan Johor sebagai ‘food bank’ bagi menangani isu keterjaminan makanan negara.

-Advertisement-

Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada minggu depan.

Beliau berkata, dalam keadaan perubahan iklim ketika ini yang dijangka berterusan, perancangan bagi menangani masalah bekalan makanan menjadi amat penting.

“Saya akan berjumpa Mohamad pada minggu depan untuk membincangkan perkara ini. Kerajaan negeri akan berusaha dengan Kerajaan Pusat untuk menjadikan Johor sebagai food bank negara,” katanya pada sidang media sempena Program Jualan Rahmah di parkir awam Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, hari ini.

-Advertisement-

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Sebelum ini, Onn Hafiz menyatakan hasrat kerajaan negeri sedia menawarkan tanah untuk diusahakan dengan penanaman padi bagi membantu kerajaan menangani isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) yang ketika ini menjejaskan rakyat.

Ia antara beberapa cadangan dikemukakan pihaknya untuk dipertimbangkan Kerajaan Pusat, termasuk mewujudkan subsidi beras import sehingga isu bekalan BPT mencukupi serta mengimport beras dari negara lain seperti Indonesia yang menawarkan harga lebih murah.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri dijangka mengumumkan Belanjawan Johor pada 23 November depan dan antara perkara bakal diberi tumpuan adalah berkaitan kos sara hidup.

Susulan itu, beliau berkata, pemimpin pada pelbagai peringkat juga perlu turun padang bagi memantau dan memastikan isu bekalan makanan yang membelenggu rakyat dapat diatasi.

“Bagi meringankan beban rakyat, pada minggu ini saja, program Jualan Rahmah diadakan di 16 lokasi dan akan diadakan secara berterusan merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Kita memahami kos sara hidup harga barang naik membabitkan semua rakyat dan pelbagai usaha dijalankan bagi memastikan kesusahan rakyat akan terus terbela.

“Saya juga menjunjung keprihatinan Sultan Johor yang mengurniakan 10,000 kampit beras kepada yang memerlukan baru-baru ini dan sumbangan seterusnya juga akan disalurkan,” katanya.

Sementara itu, Tian Soon berkata, penganjuran program jualan di kawasan hospital itu memudahkan pekerja dan kakitangan hospital terutama mereka yang tinggal di kuaters mendapatkan bekalan makanan dengan harga berpatutan.

“Sesetengah pekerja dan kakitangan hospital adalah mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah, jadi mereka menjadi sasaran dan diharap menerima manfaat program ini,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427