KUALA LUMPUR: Seramai 70 pegawai rendah polis daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan dinaik taraf menjadi detektif untuk membolehkan mereka menyiasat pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam salah laku, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
“Apabila saya meluluskan mereka (pegawai rendah polis) dinaik taraf menjadi detektif, mereka layak menerima elaun siasatan sebanyak RM300,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, di sini.
Menurut Abdul Hamid, elaun siasatan itu diberikan sebagai motivasi kerana kerja mereka adalah untuk menyiasat mana-mana anggota atau pegawai polis yang melakukan salah laku.
“Ini termasuklah anggota atau pegawai polis yang (disyaki) menerima rasuah, tidak buat kerja, melanggar undang-undang, bersubahat dengan penjenayah dan sebagainya,” katanya.
Abdul Hamid berkata berikutan langkah itu, JIPS yang sebelum ini diselia dan diketuai oleh pegawai rendah polis, kini akan dinaik taraf dan diselia oleh pegawai polis.
Beliau berkata ketika ini, JIPS di peringkat daerah dan kontinjen kebanyakannya hanya diselia oleh pegawai rendah polis.
“Jika sebelum ini, Ketua Bahagian JIPS ini hanya diselia oleh pegawai rendah polis berpangkat Sarjan dan ia mesti sekurang-kurangnya diselia oleh seorang pegawai polis berpangkat Inspektor.
“Sekarang ini, di Sabah dan Sarawak hanya pegawai rendah polis berpangkat Sarjan menyelia JIPS, bagaimana Sarjan hendak memantau pegawai polis yang berpangkat ASP jika mereka terbabit salah laku?” katanya.
Berikutan itu, Abdul Hamid berkata PDRM sudah mendapat kelulusan untuk menambah bilangan perjawatan baharu dalam JIPS.
“Kerajaan telah meluluskan 400 jawatan baharu untuk JIPS sahaja dan saya bersyukur perkara itu mendapat perhatian pihak kerajaan,” katanya tetapi enggan mengulas lanjut jumlah keseluruhan keanggotaan JIPS.
– BERNAMA