SEPANG: Kira-kira 50 jemaah berkampung di hadapan pejabat urusan Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd di sini, menuntut pengurusan syarikat itu bertanggungjawab terhadap kegagalan menerbangkan mereka menunaikan umrah.
Tinjauan di lokasi, mendapati kumpulan mangsa berkumpul bagi menuntut keadilan daripada syarikat berkenaan.
Sepasukan polis dipercayai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dilihat hadir ke pejabat urusan syarikat itu kira-kira 2 petang tadi.
Turut hadir Ketua Jabatan JSJK Selangor, Datuk Saiman Kasman, yang dilihat masuk ke premis berkenaan bersama lebih 10 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Terdahulu media melaporkan, Hejira Travel & Tours yang gagal menerbangkan jemaah ke Makkah, berjanji mengembalikan semula wang jemaah terbabit.
Pengurusnya yang dikenali sebagai Mohd Syahril, dilapor mendakwa kegagalan itu bukan disengajakan mereka sebaliknya syarikat itu menerima pembatalan hotel di saat akhir dan juga penambahan harga yang tinggi.
Beliau berkata, ekoran kejadian itu, syarikat terbabit mengambil langkah menunda penerbangan melalui kumpulan lebih kecil supaya penginapan ditempah dapat menampung jumlah ditetapkan.
Katanya, ada beberapa jemaah yang tidak bersetuju dan ingin membuat pembatalan serta menuntut pemulangan semula wang yang telah dibayar.
-BeritaHarian