KUALA LUMPUR: Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) naik 126 anak tangga dalam dalam ranking kelab dunia sejak awal tahun ini.
Peningkatan itu menyaksikan Harimau Selatan kini berada di tangga ke-447 dunia dan di kedudukan ke-31 dalam kalangan kelab rantau Asia.
Selain itu, skuad kendalian Esteban Solari yang baru sahaja mempertahankan kejuaraan Piala FA, Sabtu lalu berada di kedudukan kedua Asia Tenggara.
Kedudukan itu berdasarkan data yang dikeluarkan laman analisis bola sepak, Opta Analyst yang menyenaraikan hampir 13,500 ranking kelab bola sepak seluruh dunia.
Menurut kelab itu, data daripada laman berkenaan menunjukkan Harimau Selatan yang juga juara Piala AFC 2015 mengumpul 72.7 mata.
Peningkatan itu membolehkan ‘raja’ bola sepak Malaysia itu naik 126 anak tangga dari tangga ke-573 pada Februari 2023.
Tiada pasukan lain dari Malaysia yang berada dalam kelompok 500 terbaik, malah pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga M) berada di tempat 2,148 dan ke bawah.
Bagi peringkat Asia Tenggara, JDT di tangga kedua di belakang kelab gergasi Thailand, Buriram United yang berada di tangga ke-418 dengan 73.1 mata.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City berada di ranking teratas dengan mengumpul 100 mata diikuti kelab Jerman, Bayern Munich (95.9 mata) di tangga kedua dan Liverpool (93.8 mata) di kedudukan ketiga.
JDT mempamerkan prestasi paling cemerlang dalam sejarah kelab itu selepas memenangi semua perlawanan dalam saingan domestik musim ini dan selesa mendahului saingan Liga Super dengan 11 mata.
– BH