KUALA LUMPUR: Penganjur kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Human Voyage (M) Sdn Bhd memberi jaminan akan menjelaskan wang hadiah kejohanan itu selewat-lewatnya 11 Julai ini.
Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata jaminan itu disampaikan oleh wakil syarikat tersebut pada pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya minggu lalu.
Dalam pada itu, Abu Samah mendedahkan beberapa kejohanan berbasikal yang dirancang pada tahun ini termasuk Tour de Peninsula dan Tour de Femina sah ditunda ke tahun depan berikutan penganjur menghadapi kekangan masa untuk memastikan kelancaran kedua-dua pertandingan.
Berdasarkan perancangan awal, Tour de Femina dijadualkan dari 5 hingga 10 September ini, manakala Tour de Peninsula pula pada 13-17 Okt ini.
“Bagi pelumba kebangsaan, mereka akan meneruskan latihan seperti biasa kerana saya difahamkan kerajaan masih menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
“Skuad kebangsaan sebenarnya mendapat jemputan menyertai dua kejohanan di Korea Selatan dan Thailand pada Oktober ini. Sekiranya kerajaan menarik balik sekatan berkenaan, kita mungkin akan menghantar pelumba kita untuk bertanding pada kedua-dua kejohanan itu,” kata Abu Samah.
-BH