ITMAX menang kontrak pengawasan video RM30.2 juta di Pengerang

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Anak syarikat ITMAX System Bhd, Southmax Sdn Bhd memperoleh kontrak pengawasan video bernilai RM30.2 juta daripada Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).

Kontrak tersebut bagi kerja pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dengan ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) dan penubuhan pusat operasi pintar bersepadu.

ITMAX System dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, tempoh kontrak bermula dari 25 Mac 2025 sehingga 24 Mac 2040.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, William Tan Wei Lun, berkata kontrak daripada MPP itu merupakan kontrak pengawasan video AI kelima syarikat berkenaan di Johor.

Beliau berkata, pencapaian ini mencerminkan kepercayaan yang diberikan terhadap penyelesaian bandar pintar ITMAX dan memperluas lagi kehadiran mereka di negeri ini.

“Sistem pengawasan video yang dipacu oleh AI kami akan menyokong majlis perbandaran dalam meningkatkan kecekapan operasi dengan pendekatan yang lebih kos efektif.

“Selain menyediakan keterlihatan perolehan jangka panjang untuk kumpulan, kontrak ini seiring dengan komitmen kami untuk memajukan inisiatif bandar pintar dan mewujudkan komuniti yang lebih selamat serta lebih terhubung,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

-BERNAMA
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464