London: Itali terpaksa menyaksikan perlawanan dari rumah ketika England melangkah ke pentas separuh akhir Piala Dunia 2018, namun tiga tahun selepas itu, mereka muncul juara Euro.
Jaringan Luke Shaw di awal permainan selepas menerima hantaran dari Kieren Trippier meyakinkan penyokong England bahawa skuad kesayangan mereka mampu menjulang trofi utama.
Perlawanan itu seperti sentiasa memihak kepada tuan rumah untuk menafikan kemenangan Itali yang dibarisi pemain veteran seperti Giorgio Chiellini dan Leonardo Bonucci.
Bagaimanpun, dua gandingan Juventus itulah yang menjadi kunci utama meranapkan impian England.
Kedua-duanya berusaha untuk menjaringkan gol menerusi sepakan sudut pada pertengahan separuh masa kedua dan Bonucci akhirnya membolosi gawang England sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.
Perlawanan kemudian di heret ke masa tambahan dan kemudiannya menerusi penentuan penalti yang dimenangi oleh Itali 3-2.
“Sangat menakjubkan apabila melihat di mana semuanya bermula,” kata Bonucci yang berusia 34 tahun.
“Apabila anda berada di bawah, anda akan dapat melihat kebangkitan semula diri anda.”
Chiellini yang juga kapten Itali menambah: “Kami berhak memenanginya. Memenangi trofi pada usia seperti ini sangat bermakna,” kata pemain berusia 36 tahun itu.-METRO