Isu pembekalan vaksin Covid-19 Pfizer tak jejas bekalan Malaysia, kata menteri

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Isu pembekalan dos vaksin Covid-19 dihadapi syarikat farmaseutikal Pfizer sebagaimana dakwaan media antarabangsa tidak akan menjejaskan pembekalan vaksin kepada negara ini yang dijangka diterima pada suku pertama tahun depan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

-Advertisement-

Ini kerana, kata beliau isu pembekalan vaksin hanya melibatkan pengeluaran tahun ini.

“Saya pun sedia maklum masalah bekalan itu, tetapi dalam laporan media sama masalah itu hanya terkesan untuk bekalan 2020, setahu saya ini tak beri kesan bekalan tahun depan iaitu bekalan untuk kerajaan Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai sama ada isu pembekalan vaksin syarikat Pfizer seperti laporan Reuters akan memberi kesan terhadap pembekalan vaksin kepada Malaysia.

Khairy berkata, kerajaan juga mengambil pendekatan mengenal pasti portfolio vaksin daripada pelbagai syarikat bagi memastikan bekalan yang cukup untuk rakyat negara ini.

Mengulas mengenai kos tambahan yang mungkin terpaksa ditanggung selain peruntukan RM3 bilion, Khairy berkata setiap perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin akan mengambil kira kos seperti pengangkutan dan penyimpanan.

-Advertisement-

“Perjanjian dengan syarikat Pfizer contohnya, kos yang dibayar untuk setiap dos vaksin meliputi kos pengangkutan ditanggung oleh Pfizer sendiri,” katanya.

Terdahulu menjawab soalan asal, Khairy berkata sehingga kini Malaysia menandatangani dua perjanjian yang memberi jaminan bekalan vaksin sebanyak 30% daripada jumlah populasi negara.

“Perjanjian pertama ialah bersama COVAX Facility melalui ‘Optional Purchase Arrangement’ yang ditandatangani pada 23 Nov yang menjamin bekalan vaksin sebanyak 10% populasi negara, manakala perjanjian kedua pula ialah perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer yang dimeterai pada 24 Nov bagi mendapatkan bekalan vaksin sebanyak 20% daripada populasi negara (12.8 juta dos),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin dan keputusan akhir bagi penggunaan sesuatu vaksin di Malaysia hanya akan dibuat selepas melalui proses pendaftaran dan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bawah Kementerian Kesihatan.

Malaysia meletakkan sasaran 70% daripada keseluruhan populasi negara bagi pembentukan imuniti kelompok bawah Pelan Imunisasi Kebangsaan untuk penyakit Covid-19, dan bagi mencapai baki sasaran 40% lagi, Khairy berkata kerajaan dalam proses perbincangan dengan syarikat farmaseutikal pembangun vaksin Covid-19 lain. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427