Isu cubaan bunuh diri dan sumbangan industri katering tumpuan Dewan Rakyat Selasa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Langkah kerajaan menangani peningkatan cubaan bunuh diri dan sumbangan industri katering kepada negara dijangka mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

-Advertisement-

Dalam aturan mesyuarat yang dikeluarkan laman web Parlimen, isu berkaitan bunuh diri itu adalah soalan pertama pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri yang dikemukakan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) untuk mendapat penjelasan daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, sumbangan industri katering kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara turut dijangka mencuri perhatian. Soalan kedua daripada Nor Azrina Surip (PH-Merbok) itu inginkan penjelasan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal dan Hal Ehwal Pengguna.

Usai sesi itu, tumpuan beralih kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang antara lain soalan daripada Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang meminta penjelasan Kementerian Pertahanan berkaitan sejauh manakah tahap teknologi senjata buatan Malaysia.

-Advertisement-

Soalan daripada Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) juga tidak kurang menariknya apabila meminta pendirian Kementerian Pendidikan berkaitan strategi yang dirangka setakat ini bagi mencapai sasaran 60,000 pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada 2023.

Sesi itu dijangka berakhir kira-kira 12 tengah hari dan disambung dengan sesi pembentangan oleh Kementerian Kewangan berkaitan Rang Undang-undang Kewangan 2019 untuk bacaan kali pertama.

Perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 berkenaan Belanjawan 2020 kemudian mengambil tempat untuk hari kedua selepas membuka tirainya semalam.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis. – BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427