KUALA LUMPUR: Istana Negara sekali lagi menjadi tumpuan petugas media berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini untuk menyembah maklum peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Lebih 30 petugas media pelbagai agensi mula berkumpul di Pintu Istana Negara bermula jam 8 pagi tadi walaupun Perdana Menteri dijadualkan menghadap Seri Paduka pada jam 11 pagi ini.
Pada masa ini, Perdana Menteri berada di pejabatnya di Putrajaya dan dijadual mengadakan mesyuarat khas Kabinet pada jam 10 pagi.
Difahamkan Presiden BERSATU itu akan membuat pengumuman khas berkenaan kedudukannya sebagai Perdana Menteri selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof memaklumkan Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.
Kedudukan Perdana Menteri mula diperkatakan apabila Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada awal bulan ini membuat ketetapan sebulat suara menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuatkuasa serta merta.
-BH