Isma Aliff makin pulih

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Artis versatil yang terkenal pada era 1980-an, Isma Aliff bersyukur jangkitan pada jantung dan paru-paru serta penyakit angin ahmar yang dihidapinya, beransur pulih.

-Advertisement-

Isma Alif atau nama sebenar, Muhammad Latiff Ismail, 60, sudah tidak lagi memakai tiub atau lampin pakai buang serta boleh menguruskan diri sendiri.

“Alhamdulillah, dalam apa situasi pun saya bersyukur. Walaupun kita didatangi musibah, usah mengeluh dan kuatkan semangat. Ramai sahabat yang datang sokong, jadi saya ada rasa semangat hendak pulih.
“Saya pernah dimasukkan ke hospital pada Disember tahun lalu. Sekarang sudah masuk Disember… Alhamdulillah, sudah genap setahun. Kesihatan saya mula beransur pulih sejak lumpuh pada sebelah kiri disebabkan ‘mild stroke’.

“Saya bersenam, berurut dan melakukan akupuntur. Sekarang sudah nampak perubahan. Dahulu, saya pakai ‘pampers’ dan tiub, sekarang sudah tidak pakai lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis Sumbangsih Prihatin anjuran Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) di sini, baru-baru ini.

Pada Disember tahun lalu, Isma pernah ditidurkan di Hospital Ampang selepas mengalami jangkitan pada jantung, paru-paru dan diserang angin ahmar.

Bagaimanapun, Isma yang membintangi filem Kembar Siam pada 1989 berkata, dia masih mengikuti rawatan susulan dan mengambil ubat untuk terus pulih.

Tambah, duka, Isma berkata, ibu tersayang meninggal dunia, baru-baru ini.

“Sebelum ini, saya menetap bersama emak. Sekarang, adik saya datang bantu kalau saya hendak makan atau sebagainya. Perkara lain, saya uruskan sendiri.

“Sekarang, saya sudah boleh berjalan perlahan-lahan termasuk ke tandas. Alhamdulillah, semuanya saya boleh urus sendiri.

“Di rumah, saya banyak berehat dan mengingati Allah. Saya juga bersenam dan berurut sementara menunggu janji temu dengan doktor pad awal tahun depan,” katanya.

Pernah persoal nasib menimpa

Isma mengakui pada awalnya dia agak sukar menerima apa yang berlaku terhadap dirinya, terutama apabila kesihatan merosot. Namun, perlahan-lahan, Isma merenung diri dan reda dengan takdir yang sudah tertulis.

“Pada awalnya, saya fikir kenapa boleh jadi macam ini. Pada usia hendak masuk 60 tahun Allah bagi begini.

“Saya fikir saya insan malang dan sebagainya. Tetapi sekarang, saya perhatikan semula, ada orang lain yang lebih teruk, namun, boleh senyum lagi.

“Ini beri saya semangat dan kawan-kawan pun datang beri dorongan. Jadi, okay dan bersyukur dengan apa yang dialami,” katanya.

-Advertisement-

Isma memberitahu, dia masih mampu menjana pendapatan sendiri, namun, bersyukur rakan artis dan persatuan seni menghulurkan sumbangan.

“Dahulu, ketika arwah emak sakit, saya tidak dapat berlakon kerana perlu jaga dia. Apa yang boleh saya terima adalah undangan ‘show’ atau persembahan.

“Namun, ‘show’ tidak semeriah dahulu… Adalah dapat tawaran sebulan sekali,” katanya.

Isma bersyukur biarpun hilang pendapatan daripada bidang lakonan, beliau mendapat bantuan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS), KARYAWAN dan sebagainya.

“Kita tida bolehlah mengharapkan bantuan sampai bila-bila. Namun, saya bersyukur dengan apa yang dinikmati sekarang,” katanya.

Apabila ditanya mengapa tidak meminta dua anak menjaganya, Isma berkata, beliau tidak mahu menyusahkan mereka.

“Dari dahulu lagi saya tidak mahu anak-anak jaga kerana mereka ada kehidupan sendiri. Namun, saya bersyukur Allah lembutkan hati mereka untuk jumpa saya.

“Saya doakan mereka bahagia dunia dan akhirat… Allah mudahkan semua urusan mereka,” katanya.

Isma berkahwin dengan Norha Rafie pada 1986. Mereka bagaimanapun tinggal berasingan sejak beberapa tahun lalu berikutan Isma menjaga arwah ibunya yang sakit.

Isma mempunyai dua orang anak iaitu Nor Ismalina dan Muhammad Aliff.

Isma mula aktif dalam dunia seni pada 1986 apabila muncul dalam pelbagai program terbitan RTM.

Isma terkenal dengan gandingan bersama temannya, Allahyarham Mr Os atau nama penuh, Mohd Yusof Abdul Hamid. Mereka bekerjasama bagi menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013.

Isma juga membintangi filem seperti Marah-Marah Sayang, Jaket Biru dan Sayang Ibu.

Selain berlakon dan berlawak, Isma sempat merakamkan empat album iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427