PUTRAJAYA: Pihak industri minyak masak sawit secara prinsip bersetuju membuat ‘adjustment’ bagi menurunkan harga minyak masak secara berperingkat berasaskan harga pasaran minyak sawit semasa, kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihak industri berkenaan telah bersetuju dengan syor Pasukan Jihad Tangani Inflasi mengenai penurunan harga yang dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Yang penting secara prinsip pihak industri bersetuju untuk bekerjasama dengan jawatankuasa bagi penurunan harga minyak masak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi siri ketiga, hari ini.
Annuar berkata ia adalah perkembangan yang baik dan satu contoh bagaimana semua pihak dapat mewujudkan kerjasama bersepadu yang akhirnya rakyat dan pengguna akan mendapat hasil daripada persefahaman itu.
Menurutnya Pasukan Jihad Tangani Inflasi telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain utama industri minyak masak kelapa sawit merangkumi syarikat pengilang, pembekal dan pembungkus minyak masak pada Selasa (12 Julai).
-BH