Industri pelancongan perlu rangka laluan kerjaya tarik generasi muda

Estimate Reading Time: 2 minutes

Industri pelancongan Malaysia mencatat perkembangan positif dengan menyumbang RM71.3 bilion kepada negara dan mencatatkan 20.1 juta pelancong, sekali gus menunjukkan trend peningkatan ketara.

-Advertisement-

Trend peningkatan ini dan persediaan Malaysia menyambut kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kita memerlukan lebih ramai sumber manusia terlatih, termasuk graduan baharu bidang berkaitan.

Keutamaan negara adalah mendapatkan ramai pekerja mahir dalam sektor pelancongan melalui subsektor seperti perhotelan serta industri makanan dan minuman (F&B).
Harus diingat, Dasar Pelancongan Negara (2020-2030) melihat industri pelancongan berada dalam zon selesa, sekali gus kurang berkemampuan menyediakan perkhidmatan pelancongan berkualiti setanding negara ASEAN lain.

-Advertisement-

Justeru, budaya perkhidmatan cemerlang dalam kalangan penyedia produk dan perkhidmatan pelancongan perlu ditambah baik dengan meningkatkan latihan dan kemahiran sumber manusia.

Hakikatnya, negara mempunyai pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) pada peringkat universiti dan politeknik menawarkan ijazah berkaitan pelancongan dan hospitaliti.

Graduan dilahirkan seharusnya menyumbang kepada penyediaan modal insan berkualiti, seterusnya memacu ke arah sektor pelancongan mampan dan berdaya saing.

Sumber manusia berkualiti membantu sektor perhotelan menawarkan perkhidmatan terbaik seiring permintaan pelancong semakin kompetitif.

Ribuan graduan dilahirkan universiti

Setiap tahun, ribuan graduan bidang pelancongan dan hospitaliti dilahirkan universiti awam (UA) mahupun swasta bagi memenuhi pasaran kerja dalam sektor pelancongan, termasuk Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), selain politeknik serta kolej komuniti menawarkan program diploma dan sijil UMK contohnya menyediakan program pengajian keusahawanan pelancongan dan hospitaliti melatih pelajar bukan sahaja mahir dalam bidang itu, malah memberi pendedahan ilmu keusahawanan.

Namun, bilangan graduan itu masih belum dapat memenuhi keperluan pasaran kerja dalam sektor perhotelan dan resort. Terdapat keluhan penggerak industri berkenaan dengan kesukaran mendapatkan pekerja terutama di sektor perhotelan terutama dalam kalangan generasi muda.

Sebenarnya, kebanyakan generasi muda berkelayakan lebih cenderung memilih kerjaya mempunyai jam kerja fleksibel. Justeru, sektor perhotelan memerlukan masa kerja tidak menentu seperti kerja hari minggu dan pada hari kelepasan am mempunyai kesukaran mendapat pekerja dalam kalangan warga tempatan.

Justeru, semua pemegang taruh perlu mencari penyelesaian segera kerana negara menyasarkan lebih 35 juta kemasukan pelancongan asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 akan terganggu sekiranya industri mempunyai kesukaran merekrut pekerja berkualiti dalam kalangan generasi muda. Sektor perhotelan dan F&B memerlukan ramai pekerja berkualiti untuk menyediakan tahap perkhidmatan terbaik kepada pelancong ini.

Perkara ini perlu diperhalusi dan dibincangkan bersama pelbagai pemegang taruh seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, institusi pendidikan, penggerak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan kelestarian sumber manusia dalam sektor ini diurus dengan baik.

Pada masa sama, pihak industri perlu merangka laluan kerjaya menarik kepada generasi muda bagi menyokong kelestarian sektor pelancongan ini.

Penulis adalah Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Hospitaliti (FHPK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427