India gantung visa pelancong akibat Covid-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

NEW DELHI: India semalam menggantung semua visa pelancong hingga 15 April depan, dan akan kuarantin mereka yang tiba dari tujuh negara terkesan dengan COVID-19 dalam usaha mengekang penularan virus itu.

-Advertisement-

Ia susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik ketika negara di seluruh dunia bergelut memerangi virus berkenaan.

Menurut Biro Maklumat Media bawah kerajaan, penggantungan visa India akan bermula esok di balai berlepas.

Bagaimanapun, visa diplomatik dan visa bagi pertubuhan antarabangsa, pekerjaan serta projek, adalah dikecualikan.

“Semua pengembara, termasuk warga India, yang melawat atau tiba dari China, Itali, Iran, Republik Korea, Perancis, Sepanyol dan Jerman selepas 15 Februari lalu, akan dikuarantin untuk tempoh minimum 14 hari,” menurut kenyataan itu.

Keputusan menggantung visa itu dicapai melalui satu mesyuarat menteri yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan, Harsh Vardhan.

Kerajaan turut menasihati rakyat supaya mengelakkan perjalanan tidak penting ke luar negara, dengan memberi amaran bahawa mereka boleh dikenakan kuarantin minimum 14 hari.

Perjalanan bebas visa diberikan kepada pemegang kad Kerakyatan Luar Negara India (OCI) membabitkan kira-kira tiga juta orang yang bukan warganegara tetapi berasal daripada keluarga India yang tinggal di luar negara – digantung hingga 15 April depan.

Trafik sempadan darat pula akan melalui pos pemeriksaan ditetapkan yang dilengkapi kemudahan saringan kesihatan.

-Advertisement-

Menurut kenyataan itu lagi, warga asing yang merancang berkunjung ke India ‘atas alasan mendesak’, boleh menghubungi perwakilan India yang terdekat.

Dalam perkembangan berasingan, Biro Imigresen India berkata, semua visa dan visa elektronik (e-visa) diberikan kepada warga Perancis, Jerman dan Sepanyol sebelum semalam tetapi mereka belum memasuki India, juga digantung berkuat kuasa serta-merta.

Visa dikeluarkan kepada warga Itali, Iran, Korea Selatan dan Jepun sebelum 3 Mac lalu tetapi mereka belum memasuki India, turut digantung.

Visa yang diberikan kepada warga China sebelum 5 Februari lalu, juga terus digantung, menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, warga asing yang sudah berada di India dengan visa sah, tidak terkesan dengan penetapan baharu itu.

Selepas penggantungan visa itu diumumkan, Air India mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat penerbangan terbabit menggantung sementara penerbangan ke Rom, Milan dan Seoul, lapor Press Trust of India.

Penularan COVID-19 di India yang mempunyai 1.3 bilion penduduk, dilaporkan berganda kepada 60 kes dalam tempoh empat hari lalu, sekali gus meningkatkan kebimbangan awam serta langkah berjaga-jaga oleh kerajaan.

Banyak kes berkenaan membabitkan warga India yang mengembara atau bekerja di negara teruk terkesan dengan COVID-19 di Eropah dan Asia Barat. – AFP

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427