NEWCASTLE, England: Newcastle mengalami “kemusnahan” selepas gol kemenangan lewat aksi Samuel Chukwueze menyaksikan The Magpies tersingkir daripada pertandingan Eropah susulan kekalahan 2-1 di tangan AC Milan dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak cukup buat Milan yang layak ke separuh akhir musim lalu selepas keputusan seri 1-1 Paris Saint-Germain (PSG) dengan Borussia Dortmund memadai buat juara Perancis itu untuk meraih tangga kedua Kumpulan F.
Namun Milan sekurang-kurangnya meraih saguhati beraksi dalam Liga Europa sekali gus menafikan The Magpies, yang mana kempen pertama Liga Juara-Juara mereka dalam tempoh 20 tahun berakhir dengan kekecewaan.
Dibelenggu senarai panjang kecederaan, keletihan jelas memakan diri Newcastle, yang kini tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.
“Kami memberikan segala-galanya pada perlawanan ini. Saya tidak boleh menuntut lebih lagi dari segi komitmen, usaha, penat-lelah. Malangnya buat kami ia tidak dapat dicapai,” kata bos Newcastle, Eddie Howe.
“Mungkin bukan persembahan terbaik kami dari segi teknikal tetapi kami tetap berjaya mencipta peluang malam ini. Kami berasa hancur luluh kerana gagal mara.”
Howe terpaksa menamakan 10 pemain sama bagi lima perlawanan terakhir kerana kekurangan pilihan dan kesal kerana mereka gagal meneruskan rentak cemerlang pada permulaan kempen.
Selepas seri 0-0 di Milan, Newcastle membenam PSG 4-1 di laman sendiri.
Namun mereka hanya meraih satu mata daripada empat perlawanan terakhir untuk menghuni tangga tercorot kumpulan.
“Nilai skuad ini, itulah yang mendedahkan kami,” kata Howe. “Kami tidak berupaya menggunakan kebolehan skuad yang kami bentuk, ia satu kekecewaan besar buat kami.”
Milan turut dilanda masalah kecederaan dan jurulatih Stefano Piolo kesal kerana gagal mengambil peluang mereka dalam perlawanan terdahulu.
“Kami kecewa kerana menamatkan perjuangan kami dalam Liga Juara-Juara,” kata Pioli.
“Kami sedar kumpulan ini sukar tetapi saya percaya kami berhak mendapat lebih lagi – kami patut menggunakan sebaiknya peluang kami dalam perlawanan lain.”
-AFP
-BeritaHarian