KUALA LUMPUR: Impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dijangka kecil memandangkan pelaksanaannya lebih bersasar dan aktiviti ekonomi masih boleh beroperasi, kata penganalisis.
Namun begitu, dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan langkah mengehadkan pergerakan penduduk akan memberi kesan negatif kepada pemulihan ekonomi setempat meskipun ia tidak seteruk sekatan dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan tahun lalu.
Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata ketika PKP 1.0, negara kerugian RM2.4 bilion setiap hari, namun ketika PKP 2.0, negara dianggarkan kerugian sekitar RM600 juta sehari.
“Pelaksanaan PKP kali ini dijangka menyebabkan negara mencatatkan kerugian harian tetapi tidak sebesar kerugian sebelum ini.”Ia berikutan sektor ekonomi masih dibenarkan dibuka dengan syarat SOP yang ketat, cuma ada batasan dari segi pergerakan penduduk saja,” katanya kepada BH.
Ahmed Razman bagaimanapun berkata jika kadar jangkitan berterusan meningkat walaupun tempoh PKP berakhir dan memaksa ia dilanjutkan, sudah pasti impak negatif ke atas ekonomi akan bertambah.
Jika ia berlaku, beliau melihat wujudnya keperluan bagi kerajaan untuk melaksanakan satu lagi pelan rangsangan fiskal bagi membantu kumpulan terjejas.
“Ia boleh berbentuk penambahbaikan ke atas inisiatif yang diluluskan di bawah Belanjawan 2021 dan pada masa yang sama inisiatif baharu yang khusus untuk menangani keperluan semasa kumpulan terjejas seperti memberi moratorium untuk kos sewaan premis perniagaan dan cukai taksiran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Bagi individu dan isi rumah, usaha berterusan untuk memastikan kadar pengangguran dikurangkan dengan mencipta peluang pekerjaan yang baharu seperti MyStep dan juga projek infrastruktur di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) untuk memastikan kecairan di dalam pasaran sentiasa di tahap yang memuaskan,” katanya.
Ahmed Razman juga melihat negara masih mampu mendepani gelombang jangkitan COVID-19.
Namun, tegasnya kerajaan mungkin tidak lagi menggunakan strategi yang sama iaitu menambah hutang baharu tetapi memikirkan alternatif lain seperti mewujudkan mata wang digital berdaulat seperti yang diperkenalkan di China yang mampu mengurangkan ketirisan, menghapuskan pasaran gelap dan membolehkan bantuan fiskal disalurkan ke sektor ekonomi yang sepatutnya.
Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata pengumuman PKP 3.0 sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negeri dan juga negara secara keseluruhannya.
Namun, beliau berkata, kesannya dijangkakan tidak seteruk PKP 2.0 atau PKP 1.0 kerana terdapat beberapa perbezaan utama, antaranya ia lebih bersasar dan berdasarkan kepada data dan juga kaedah menganalisa data yang lebih berkesan pada ketika ini.
“Perbezaan ketara pada kali ini adalah sektor ekonomi boleh dibuka. Ini akan dapat meminimumkan kerugian kepada Kerajaan Persekutuan dan juga negeri,” katanya yang menjangkakan kerugian harian ekonomi lebih kecil iaitu di bawah RM600 juta sehari memandangkan sektor ekonomi boleh dibuka.-BH