Imigresen Perak tahan 32 warga China jalankan penipuan dalam talian

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH- Jabatan Imigresen negeri Perak berjaya menahan seramai 32 warga China termasuk dua wanita dipercayai menjalankan aktiviti penipuan dalam talian hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Meru Raya di sini, semalam.

-Advertisement-

Pengarah Imigresen Perak Kamalludin Ismail berkata dalam serbuan selama dua jam setengah yang bermula pada 4.30 petang itu, semua warga China dan seorang lelaki tempatan yang ditahan itu berumur antara 18 hingga 41 tahun.

“Semasa serbuan mereka sedang leka menjalankan aktiviti berkenaan. Menyedari kehadiran pegawai operasi ada yang cuba melarikan diri dengan melompat pagar rumah, namun cubaan itu berjaya dipatahkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalludin berkata dalam serbuan semalam, pihaknya turut merampas 37 komputer riba, 66 telefon bimbit, sebuah modem internet dan satu unit router, 71 keping pelbagai jenis kad bank, 21 kad pengenalan diri China, satu mesin pembaca kad juruwang automatik/kad debit serta tujuh sim kad baharu.

-Advertisement-

“Turut dirampas pelbagai jenis mata wang termasuk Yuan (China), Peso (Filipina), Dolar Hong Kong, Euro dan Ringgit,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah selain melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kamalludin berkata dengan tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan warga China yang ditahan oleh imigresen Perak sejak 9 Dis lalu kerana melakukan penipuan dalam talian adalah seramai 137 orang.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427