KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dalam proses akhir untuk mempatenkan ikan celup tepung (ICT) sebagai harta intelek di bawah kategori Petunjuk Geografi (GI).
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) giat mengumpul semua pengusaha ICT di seluruh negeri.
“Kita jangka ICT dapat dipatenkan sebagai harta intelek di bawah kategori GI selewat-lewatnya tahun depan.
“Hasil maklum balas dilakukan mendapati pengusaha ICT pada dasarnya bersetuju produk makanan laut itu dipatenkan seperti saranan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), November lalu,” katanya.
Terdahulu, Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat merasmikan majlis penyampaian surat tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) di sini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi.
Pada majlis itu, seramai 18 usahawan menerima surat tawaran pembiayaan perniagaan berjumlah RM310,000.
Ariffin meminta pengusaha ICT memberi kerjasama kepada YPU bagi memudahkan usaha kerajaan mempatenkan produk dihasilkan.
“Jika ICT dipatenkan, ia akan memudahkan pihak penguat kuasa mengambil tindakan ke atas individu atau syarikat yang meniru produk.
Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata, usahawan yang terkesan banjir dan berhadapan masalah membuat bayaran balik pinjaman diminta berbincang dengan YPU.
“Kita dimaklumkan tidak ramai usahawan memperoleh pinjaman melalui program TUGAS terkesan dengan banjir gelombang pertama.
“Usahawan yang terkesan banjir boleh membuat penyelarasan bayaran balik pinjaman dengan YPU,” katanya.
Mengenai pinjaman melalui program TUGAS, Ariffin berkata, seramai 5,116 usahawan di seluruh negeri memperoleh pinjaman berjumlah RM29 juta sejak skim itu diperkenalkan kerajaan pada 2019 bagi membiayai perniagaan.
-BeritaHarian