KUALA LUMPUR: Program Pemilikan Kediaman (HOPE) yang dilancarkan hari ini, menyediakan penyelesaian kepada golongan B40, M40 dan anak muda untuk memiliki kediaman, berlandaskan aspirasi Satu Keluarga, Satu Rumah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata HOPE dirangka oleh kementerian itu untuk memudah cara dan mengatasi cabaran dihadapi tiga kumpulan sasar itu membabitkan pemilikan rumah.
Bagi merealisasikan matlamat itu, katanya, HOPE antara lain memberi tumpuan untuk memastikan jumlah rumah mampu milik yang mencukupi, dengan sasaran membina 500,000 rumah mampu milik sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“HOPE menunjukkan bahawa di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kami sentiasa menggalas harapan rakyat untuk memiliki rumah yang sempurna untuk mereka.
“Pelancaran program hari ini adalah penting untuk menjadi lambang kesungguhan KPKT mengangkat dan memperjuangkan agenda pemilikan rumah, termasuk rumah mampu milik kepada keseluruhan rakyat.
“Saya berharap HOPE akan menjadi jendela baharu untuk anak muda memiliki rumah. Selain rumah di bawah RM300,000 , pemaju turut menawarkan rumah bernilai sekitar RM500,000 hingga RM800,000 untuk golongan M40 yang berkemampuan.
“Sebanyak mana kita mengambil berat kepada golongan B40, saya yakin kerajaan akan melihat juga keperluan perumahan bagi golongan M40, khususnya dari segi insentif pemilikan rumah,” katanya pada Majlis Perasmian HOPE dan Karnival Jom Beli Rumah.
Majlis itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussain Al-Junid.
-BH